My Add

Wednesday 28 November 2012

Program Wakaf Al-Quran diteruskan

Oleh FATIN AINAA FAUDZI


*ABDUL Latiff Mirasa memandu jentera yang membawa kotak berisi al-Quran untuk dimuatkan ke dalam kontena sambil disaksikan Nawawi Daud di Pelabuhan Kelang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SHAHARANI SAIBI

PELABUHAN KLANG, SELASA, 27 November, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Yayasan Restu meneruskan program Wakaf Al-Quran dengan menghantar sebanyak 36,160 naskhah kitab suci terjemahan bahasa Khmer ke Kemboja.

Langkah itu diambil selepas program sama berjaya dilaksanakan pada 2010 apabila sebanyak 50,000 naskhah al-Quran telah dicetak dan dihantar ke negara berkenaan hasil kutipan dana oleh ATM dan orang ramai.

Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, penghantaran kali ini merupakan kali kedua untuk tahun ini selepas penghantaran edisi pertama dilakukan Ogos lalu.

Menurutnya, sumbangan itu bertujuan meningkatkan kefahaman umat Islam di Kemboja mengenai kitab suci tersebut di samping mengeratkan tali persaudaraan sesama umat Islam.

''Kita telah menghantar sebanyak 3,840 naskhah al-Quran pada Ramadan lalu. Penghantaran bagi edisi kedua ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah disumbangkan sebanyak 40,000 naskhah.

''Sumbangan ini merupakan salah satu misi kemanusiaan bagi membantu saudara seagama kita yang tidak bernasib baik agar mereka dapat bersama-sama memahami keindahan dan kehebatan ilmu dan nilai-nilai murni sejagat yang terdapat di dalam kitab Allah itu," katanya pada sidang akhbar majlis Penghantaran Mushaf Al-Quran dan Terjemahan Khmer untuk penduduk Islam Kemboja, di sini hari ini.

Abdul Latiff berkata, naskhah al-Quran yang dihantar ke Kemboja itu disertai terjemahan di dalam bahasa Khmer yang merupakan bahasa rasmi negara Kemboja.

''Terjemahan ke bahasa Khmer dibuat bagi memudahkan masyarakat Islam di negara itu yang tidak tahu membaca dan memahami bahasa Arab untuk belajar al-Quran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menghantar sebanyak 60,000 naskhah al-Quran lagi ke negara tersebut pada 2013 dan 2014 bagi menjadikan jumlah keseluruhannya 100,000 naskhah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Kolonel Nawawi Daud berkata, program yang bertemakan Al-Quran Sinar Sejagat itu membuka peluang besar kepada umat Islam di negara ini untuk membelanjakan harta mereka ke arah lebih bermanfaat dan berkebajikan, sekali gus dapat membantu saudara seagama yang memerlukan al-Quran.

"Kebelakangan ini, pelbagai cara digunakan oleh umat Islam untuk membelanjakan harta yang dimiliki ke jalan Allah SWT dan inisiatif ATM bersama Yayasan Restu itu boleh disifatkan sebagai program yang lebih meyakinkan umat Islam untuk menginfakkan harta mereka ke arah bermanfaat," katanya. - - UTUSAN

No comments:

Post a Comment