My Add

Monday, 12 November 2012

Podium kedua buat Zulfahmi di Valencia
 
 *ZULFAHMI Khairuddin di atas podium setelah menduduki tempat ketiga
pada GP Valencia di Sepanyol, semalam. - AGENSI
Oleh AIZAWATI AHMAD
KUALA LUMPUR, AHAD, 11 November, 2012: Litar Valencia membawa tuah buat pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin apabila dia mencatat keputusan podium kedua dalam kariernya pada perlumbaan penutup tirai Moto3 musim 2012 di Grand Prix (GP) Valencia, Sepanyol, semalam.

Anak muda kelahiran Banting, Selangor itu menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 45 minit 06.005 saat, di belakang dua pelumba Red Bull KTM Ajo, Danny Kent dan Sandro Cortese.

Kent, pelumba kelahiran Britain muncul juara pada perlumbaan tersebut dengan catatan masa terpantas 4:05.891s.

Juara dunia Moto3, Cortese dari Jerman yang diberi tentangan sengit oleh rakan sepasukannya itu melakar 45:05.947s di tangga kedua.

Zulfahmi yang bermula di petak ke-17, berjaya melonjak ke kedudukan kelapan pada awal saingan dan terus konsisten untuk berada di kelompok 10 terbaik pada perlumbaan 24 pusingan itu.

Prestasi seimbang yang dipamerkan anak muda berusia 21 tahun itu sepanjang perlumbaan menyaksikan dia terus memberi tentangan sengit sehinggalah saingan berbaki lima pusingan, Zulfahmi memecut jenteranya daripada tempat kelapan, mendaki satu demi satu anak tangga untuk berada dalam kelompok lima terbaik.

Pada pusingan terakhir, pelumba Air Asia SIC Ajo itu yang mengekori rapat penunggang RW Racing GP, Brad Binder kemudiannya memintas menamatkan saingan di kedudukan ketiga untuk catatan podium kedua selepas muncul naib juara di GP Malaysia 21 Oktober lalu.

Zulfahmi ketika dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) melahirkan rasa tidak percaya dengan keputusan podium yang dicatatnya pada saingan, semalam.

“Sukar untuk saya percaya keputusan podium yang saya catat. Litar agak basah dan licin, tetapi pada pertengahan perlumbaan saya ambil risiko untuk memberikan saingan kepada pelumba lain walaupun banyak insiden kemalangan yang berlaku.

“Saya gembira dapat menaiki podium buat kali kedua tahun ini, setelah saya bermula di petak ke-17 dan menamatkan perlumbaan di tangga ketiga, ini keputusan yang cukup hebat," katanya yang menamatkan saingan musim ini di tangga ketujuh keseluruhan setelah mengumpul 128 mata.

Menurut Zulfahmi, ketika saingan berlangsung dia tidak sabar untuk menamatkan perlumbaan dan masih sukar untuk menerima keputusan yang dicatatnya.

“Saya memang benar-benar sukar hendak percaya keputusan hari ini (semalam), saya tidak sabar untuk berlumba pada kejuaraan dunia tahun depan.

“Terima kasih kepada pasukan saya, penaja KTM dan semua orang yang selama ini memberikan sokongan kepada saya. Tahun depan, saingan bakal menjadi lebih kompetitif dan saya perlu bersedia dari segi fizikal dan mental, begitu juga dengan jentera," ujarnya.

Sementara itu, Zulfahmi turut melahirkan rasa gembiranya setelah Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih Dorna (pemegang hak penganjuran MotoGP) untuk menerima anugerah Kejohanan MotoGP terbaik tahun ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment