My Add

Thursday 1 November 2012

Semua pihak perlu akur penangguhan tayangan "Tanda Putra"

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 November, 2012: Semua pihak perlu akur dengan penangguhan tayangan filem "Tanda Putera", sekiranya itu yang diputuskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Itu (penangguhan) terserah kepada pihak berkuasa. Bukan di bawah kuasa menteri atau mana-mana pihak. Kalau pihak berkuasa penapisan (LPF) berbuat sedemikian, itu kita akurlah," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas desas-desus filem yang dijadual ditayangkan pada 15 Nov ini, ditangguhkan ke tahun depan.

LPF, sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, bertanggungjawab menapis semua filem sama ada filem tempatan atau luar negara sebelum ditayang atau diedar kepada umum.

Filem "Tanda Putera" memaparkan perjuangan perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman membangunkan negara selepas tragedi 13 Mei 1969.

Ia dijadual ditayangkan pada 13 September lepas, tetapi ditangguhkan ke 15 November.

Laporan media semalam menyebut pengarah filem itu, Datin Paduka Shuhaimi Baba mengesahkan filem tersebut hanya akan ditayanghkan pada tahun depan, namun tidak menyatakan sebabnya.

Ditanya sama ada penangguhan itu dibuat kerana pilihan raya umum yang semakin hampir, Rais berkata: “Itu saya tidak tahu." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment