My Add

Thursday 1 November 2012

Hormati MAIK sebagai pihak berkuasa agama tertinggi - Sultan

KOTA BHARU 1 Nov. - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V
mengingatkan semua pihak agar menghormati Majlis Agama Islam
dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebagai pihak berkuasa agama tertinggi di negeri ini dan yang tertua di Malaysia.

Baginda bertitah, semua pihak perlu meletakkan MAIK di kedudukannya sebenar dalam usaha mempertahankan umat Islam daripada berpecah dan mengelak wujud aktiviti-aktiviti yang mencelarukan pemikiran rakyat.

Sultan Muhammad turut menitahkan semua jabatan agama lain di
negeri ini memainkan peranan sebagai pembantu kepada Maik
dan menjalinkan kerjasama erat.

"Beta ingin mengingatkan agar jabatan lain selaku rakan senegeri terutama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Mufti Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan benar-benar berperanan sebagai pembantu kepada MAIK.

"Maik sebagai agensi agama induk dan tertinggi di negeri ini perlu dihormati dan diletakkan pada kedudukan yang sebenar, tanpa berlaku sebarang pertindihan aktiviti yang membuang masa dan wang lebih-lebih lagi aktiviti yang mengundang berlaku kecelaruan fikiran, salah faham dan perpecahan umat Islam," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Ekspo Maik 2012
(Ekspo Maik) sempena perayaan 100 tahun Maik yang bertemakan
Seabad Mendaulatkan Islam di Istana Negeri di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment