My Add

Saturday 31 March 2012

Najib ke China esok

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Mac, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Nanning dan Qinzhou, di Wilayah Guangxi, China esok bagi mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatan beliau dari China, Wen Jiabao. 

Kenyataan Kementerian Luar hari ini menyebut perbincangan itu akan menyentuh isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama antara dua negara.

Lawatan itu akan mendatangkan impak sosio-ekonomi yang positif serta kebaikan yang membawa hubungan antara Malaysia dan China ke tahap yang lebih tinggi.
Najib akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting serta pegawai kanan dari Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pejabat Perdana Menteri dan agensi kerajaan lain yang terbabit. 

Menurut kenyataan itu acara kemuncak lawatan adalah pelancaran rasmi Taman Industri Qinzhou (QIP) China-Malaysia oleh Najib dan Wen. 

Cadangan untuk mewujudkan taman industri yang meliputi kawasan seluas 55 kilometer dibincangkan semasa lawatan kerja Wen ke negara ini pada 28 April tahun lalu. 

Kejayaan merealisasikan projek ikonik ini dalam tempoh yang singkat mempamerkan usaha gigih kedua-dua negara dalam meningkatkan serta mengeratkan lagi hubungan ekonomi dua hala, kata kenyataan itu lagi. 

QIP adalah tanda kejayaan kerjasama dalam hubungan dua hala ekonomi antara Malaysia dan China yang berperanan sebagai pintu masuk bagi syarikat serta produk Malaysia untuk menembusi pasaran pengguna domestik China yang luas di samping menjana peluang ekonomi kepada usahawan kedua-dua negara. 

Selama tiga tahun berturut-turut, China merupakan rakan dagangan Malaysia yang terbesar mewakili 13.2 peratus daripada jumlah nilai dagangan dunia Malaysia. 

Menurut kenyataan itu, tahun lalu jumlah nilai dagangan Malaysia dan China bernilai US$54.53 bilion (RM166.86 bilion) berbanding US$45.50 bilion (RM146.5 bilion) pada tahun 2010. - BERNAMA 

Najib, Jiabao lancar projek ikon Malaysia-China Qinzhou

NANNING, SABTU, 31 Mac, 201: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao dijadualkan bertemu lagi esok sejak pertemuan terakhir mereka lima bulan lalu di bandaraya selatan China itu, yang mencerminkan satu lagi langkah ke depan bagi mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara. 

Selain mengadakan mesyuarat dua hala, kedua-dua Perdana Menteri itu akan bersama-sama melancarkan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP), satu projek usahasama Malaysia-China di kawasan pantai wilayah Guangxi.

Duta Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin, berkata QIP yang diambang menjadi satu projek ikon, akan menyaksikan kerjasama yang semakin meningkat antara sektor awam dan swasta kedua-dua negara.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan tiba di sini pada jam 1.00 pagi Ahad bagi melakukan lawatan kerja sehari bagi melihat sendiri kemajuan projek itu. 

Iskandar berkata, projek itu adalah strategik kerana berdekatan negara-negara Asean, kerana Pelabuhan Bebas Qinzhou yang berdekatan akan bertindak sebagai akses paling mudah ke barat daya China, khususnya Kunming, yang merupakan bandaraya terbesar wilayah Yunnan. 

"Kerjasama Malaysia-China kini berada pada peringkat terbaik dengan kedua-dua Perdana Menteri (Najib dan Jiabao) bersetuju supaya kerjasama ditingkatkan ke tahap paling tinggi dan strategik. 

"Kerjasama strategik ini melibatkan semua bidang yang berpotensi untuk diterokai bagi faedah bersama," katanya ketika taklimat kepada wartawan Malaysia di sini, Sabtu. 
Katanya, projek itu bukan sahaja akan menyediakan peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia malah juga kepada syarikat negara anggota ASEAN yang lain. 

Projek QIP, katanya, adalah pembangunan projek ketiga sedemikian di China, selain Taman Perindustrian Suzhou dan Bandaraya Eko Tianjin antara China dan Singapura. 

Katanya, fasa pertama QIP meliputi kawasan seluas 15 km persegi, dengan pembangunan keseluruhan tiga fasa dijangka dikembangkan kepada 55 km persegi. Keseluruhan projek itu dijangka memakan masa 15 tahun untuk disiapkan. 

Ketika pertemuan mereka di Kuala Lumpur setahun lalu, Najib dan Jiabao menekankan pentingnya dijalin kerjasama strategik antara Malaysia dan China, sekaligus melahirkan idea mewujudkan QIP. 

Kedua-dua pemimpin bertemu semula Oktober lalu apabila Najib menghadiri Ekspo China-Asean (CAEXPO 2011) di sini di mana kedua-dua pihak mengukuhkan lagi komitmen masing-masing bagi memastikan kelancaran pembangunan projek itu. 

Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China Tan Sri Ong Ka Ting kemudiannya dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri Ke China. 

Esok, Najib dan Jiabao akan menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian usahasama antara Qinzhou Development (Malaysia) Consortium Sdn Bhd dan Qinzhou Jingu Investment Co.Ltd. 

Iskandar berkata, jumlah dagangan antara kedua-dua negara terus meningkat dengan China kini adalah rakan terbesar dengan jumlah dagangan keseluruhan AS$54.53 bilion. 

Katanya, bilangan pelawat dari China ke Malaysia telah meningkat kepada 1.5 juta pada 2011 berbanding 1.4 juta pada tahun sebelumnya. 

"Kemasukan buah durian turut melonjak daripada nilai RM400,000 pada 2010 kepada RM1.1 juta tahun lepas, menandakan permintaan yang semakin tinggi," katanya. - BERNAMA

SMS Speaker bukti kerajaan Selangor 'cara-marba': Noh

KUALA SELANGOR, SABTU, 31 Mac, 2012: Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Exco pada persidangan DUN, membuktikan kerajaan pakatan pembangkang itu ketika ini berada dalam keadaan "caca-marba". 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa tindakan Teng itu jelas menunjukkan kesemua pemimpin kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu termasuk Menteri Besar dan anggota Exco tidak tahu mengenai peranan masing-masing.

"Seharusnya perkara sebegini tidak berlaku tetapi apabila semua pihak dalam kerajaan pakatan tidak tahu peranan masing-masing dan semua mahu tunjuk pandai, ini yang terjadi.

"Tindakan (menghantar SMS) tersebut seterusnya merendahkan serta satu penghinaan terhadap kebolehan Exco, seolah-olah Exco ini tidak tahu buat kerja sehingga terpaksa Speaker pula yang memberi arahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Larian 'Secupak Budi, Sepenuh Hati' anjuran Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) di sini, hari ini. - BERNAMA

7 maut, lebih 70 cedera letupan bom Yala

YALA, SABTU, 31 Mac, 2012: Tiga serangan bom meragut tujuh nyawa manakala ramai yang cedera di bandar utama selatan Thailand, Yala di sini, hari ini. 

Menurut tentera Thailand, serangan di tengah-tengah yala tercetus pada waktu tengahari dan serangan seterusnya hanya beberapa minit selepas itu.

"Tujuh disahkan terbunuh manakala lebih 70 yang lain cedera susulan letupan di Yala. Letupan pertama membabitkan sebuah kereta, manakala letupan kedua serta ketiga disembunyikan di sebalik motosikal." kata jurucakap tentera wilayah Selatan, Kolonel Pramote Promin di sini, hari ini. - AFP

Ketua AMK diberi tempoh14 hari tarik balik kenyataan

YAN, SABTU, 31 Mc, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini meminta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan Jamil Khir menahan permohonan qazaf berkaitan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dibawa ke Mahkamah Syariah. 

Jamil Khir berkata, sekiranya dalam tempoh 14 hari, beliau tidak menerima sebarang maklum balas daripada Shamsul seperti yang diminta itu, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Katanya, kenyataan oleh Shamsul itu dikeluarkan secara terbuka menerusi program siaran langsung Bicara Rakyat di TV1 semalam dan ia adalah fitnah kepadanya di samping membohongi seluruh rakyat Malaysia.

"Ia adalah satu pembohongan yang amat tidak wajar kepada saya dan bukan sekadar itu...difitnah dan juga dimalukan dengan kenyataan yang beliau (Shamsul) keluarkan dan bukan hanya soal saya tetapi pembohongan ini dibuat di dalam tv yang disiarkan secara langsung di seluruh Malaysia," katanya. 

Jamil Khir bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ketujuh Pertubuhan Pergendangan Silat Daerah Yan di Gelanggang Silat Gayung Rumah Shaari Man di Simpang 3 Sungai Daun dekat sini. - BERNAMA

Seramai 689 anggota TLDM Lumut terima BR1M RM344,500

LUMUT, SABTU, 31 Mac, 2012: Seramai 689 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di sini, hari ini, menerima baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM344,500. 

Baucar bernilai RM500 untuk setiap penerima itu disampaikan oleh Menteri Pengangkutan yang juga Anggota Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha pada majlis di Dewan Sidek KD Pelandok di sini.
Seorang penerima, Laskar 1 Rosny Wati Shaari, 30, berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan skim berkenaan untuk rakyat berpendapatan rendah.

Sebagai seorang ibu tunggal, katanya wang bantuan itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya yang berusia enam tahun. 

"Dengan perbelanjaan seharian yang semakin meningkat sekarang ini, bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya yang terpaksa hidup tanpa suami," katanya. - BERNAMA

Pelaksanaan NKRA luar bandar Sarawak cemerlang

KUCHING, SABTU, 31 Mac, 2012: Sebahagian besar daripada pelaksanaan projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di Sarawak menepati atau melebihi sasaran yang ditetapkan, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 

Beliau berkata, antara pencapaian berkenaan ialah dalam projek jalan raya luar bandar, bekalan air, bekalan elektrik dan projek bantuan rumah.

Bagi projek jalan raya, secara keseluruhannya sepanjang 222.95 kilometer berjaya disiapkan dengan kos berjumlah kira-kira RM455.57 juta, katanya kepada pemberita selepas majlis Program Mesra Rakyat di Kampung Git, kira-kira 60 kilometer dari sini.

Katanya, selain itu, sebanyak 18,052 buah rumah berjaya dibekalkan dengan kemudahan air paip berbanding sasaran awal kementerian sebanyak 13,024 buah rumah, yang membabitkan kos berjumlah RM626.39 juta. 

Mengenai projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, beliau yakin sasaran sebanyak 21,792 buah rumah dilengkapi kemudahan itu akan dapat dicapai dalam tahun ini berikutan sebanyak 14,123 buah rumah sudah berjaya dibekalkan dengan elektrik. 

Shafie berkata, kawasan Tanjung Manis dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan di bawah Program Transformasi Luar Bandar di Sarawak. 

Beliau berkata, pusat pertumbuhan itu akan dilengkapi pejabat agensi kerajaan serta perkhidmatan untuk kemudahan masyarakat luar bandar di kawasan itu dan sekitarnya. - BERNAMA

ATM sasar 200,000 Askar Wataniah menjelang 2020

DUNGUN, SABTU, 31 Mac, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan keanggotaan Askar Wataniah akan mencapai 200,000 orang menjelang tahun 2020, kata Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkiple Kassim. 

Beliau berkata, ATM komited untuk menambah kekuatan anggota AW di seluruh negara yang pada ketika ini berjumlah 100,000 anggota dengan nisbah satu anggota anggota tetap kepada satu anggota sukarela.

"Kemasukan AW tidak terhad dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Saya menyeru anak muda untuk menyertainya bagi melengkapkan sistem pertahanan negara," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Kompeni Askar Wataniah FELDA Peringkat Terengganu di Sekolah Menengah Bandar Ketengah Jaya di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu memeriksa perbarisan Rejimen 512 Askar Wataniah terdiri daripada 145 anggota AW generasi FELDA di Terengganu. 

Ini adalah kompeni ketiga AW Felda selepas pelancaran Kompeni pertama oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Gedangsa, Selangor 12 Februari lalu. 

Zulkiple berkata, usaha Gabungan Wawasan Generasi FELDA yang menarik anak peneroka menyertai AW perlu dipuji kerana usaha ini melengkapkan tiga daripada 10 kompeni Askar Wataniah Felda di seluruh Negara. 

Menjelang hujung tahun ini, ATM bakal disertai 10,000 anggota tambahan terdiri daripada golongan peneroka FELDA membabitkan 10 kompeni AW di seluruh negara. - BERNAMA

HFMD: 66 kes baru dicatatkan di Sarawak hari ini

KUCHING, SABTU, 31 mAC, 2012: Hanya 66 kes baru jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Sarawak setakat tengah hari ini, berbanding 83 semalam, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zulkifli Jantan. 

Beliau berkata, statistik terkini itu menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini sebanyak 4,015.

"Penurunan kes direkodkan di Kuching dengan 21 kes, Limbang (7 kes), Bintulu dan Miri (masing-masing 5) dan Samarahan (2). Tiada kes baru dilaporkan di Sibu," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, jumlah kes baru yang dimasukkan ke hospital ialah enam, termasuk dua di Hospital Bau dan masing-masing satu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sarikei, Sibu dan Lawas. 

Dr Zulkifli berkata, terdapat dua kes jangkitan terkumpul yang serius di Hospital Bintulu, manakala 11 pesakit telah dibenarkan keluar. 

Setakat ini, sebanyak 72 institusi ditutup termasuk 66 yang diarah tutup manakala enam lagi berbuat demikian secara sukarela. - BERNAMA

Sarawak cadang penubuhan universiti teknologi di Sibu

SIBU, SABTU, 31 Mac, 2012: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata kerajaan bercadang menubuhkan sebuah universiti teknologi di Sibu bagi menampung keperluan tenaga kerja Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE). 

Berucap pada sambutan ulangtahun ke-110 SMK Methodist Sibu di sini, malam tadi, beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut berhubung penubuhan universiti tersebut.

Namun, beliau menyeru semua pihak di sini supaya bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan penubuhannya menjadi kenyataan.

Menurutnya, pada masa sekarang terdapat empat universiti dan banyak pusat latihan perniagaan serta pengurusan di negeri ini. 

Katanya, memandangkan Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja terlatih dalam bidang teknikal, tumpuan akan diberikan kepada pendidikan dan latihan teknikal.

Parlimen Indonesia sekat rancangan naikkan harga bahan api

JAKARTA, SABTU, 31 Mac, 2012 : Parlimen Indonesia hari ini menyekat rancangan kerajaan untuk menaikkan harga bahan api lebih daripada 30 peratus pada hujung minggu ini, tetapi akan membenarkan kenaikan harga pada masa akan datang dalam keadaan tertentu. 

Kerajaan mengumumkan untuk menaikkan harga petrol daripada sekitar 50 sen hingga 65 sen seliter esok dan menyifatkan, ia tidak mempunyai pilihan kecuali mengurangkan subsidi bahan api.

Anggota parlimen hari ini mengundi untuk membenarkan kenaikan harga minyak jika purata minyak mentah Indonesia dalam tempoh enam bulan melambung 15 peratus dari harga $105 setong kepada $120.75 setong. Purata harga minyak mentah Indonesia kini adalah $116.49. - AFP

Kerajaan hormati media

NAJIB bersama (dari kiri) Hassan, Azmi, Alang dan Suat Ling berkongsi kegembiraan pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2012 dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia anjuran MPI-PETRONAS 2011, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Entiti bebas laksana peranan imbang periksa pentadbiran 

Oleh S Anand Kumar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan amat menyedari keperluan dan peranan media yang bebas, adil dan bertanggungjawab terhadap pembangunan dan perkembangan negara.

Serentak itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menghormati kedudukan media sebagai entiti bebas yang melaksanakan peranan imbang periksa terhadap pentadbiran kerajaan.

“Apakah faktor yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah negara? Adakah ia faktor sumber asli, kepemimpinan, institusi, corak demografi, geografi, sistem nilai atau kombinasi faktor yang berkenaan serta faktor lain yang tidak disebut. 

“Kita menyaksikan dalam sejarah ada negara yang mempunyai sumber alam yang melata dan modal insan yang produktif namun menjadi negara yang gagal. 

“Ada juga negara yang berjaya sebahagian daripada perjalanan tetapi kemudian mula terbantut proses pembangunannya, manakala ada juga kategori yang walaupun tandus sumber alam tetapi berjaya kerana gabung jalin faktor lain yang dimiliki. 

“Jawapan kepada persoalan ini bukan mudah tetapi saya yakin dan percaya peranan dan kepentingan pihak media tidak dapat dinafikan,” katanya pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2012 dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2011 di sini, malam tadi. 

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya. 

Najib berkata, media turut berperanan penting dalam menyalurkan pelbagai maklumat kepada rakyat. 

“Jika media sesebuah negara tidak memainkan peranan sepatutnya sebagai cerminan nurani, aspirasi, denyut nadi dan keluh kesah rakyat dengan menyebar maklumat, mendidik, advokasi dan mencetuskan debat terhadap isu semasa, dasar awam dan kepentingan umum secara adil dan bertanggungjawab maka media sebenarnya tidak menjalankan khidmatnya kepada negara, rakyat dan kerajaan,” katanya. 

“Seperti yang selalu saya sebut era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir,” katanya. 

Najib berkata, barangkali langkah yang dilaksanakan kerajaan selama ini digemari pihak antarabangsa hingga menyaksikan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia bagi 2011, bertambah baik berbanding tahun sebelumnya. 

“Di kalangan 178 negara yang dipantau oleh organisasi Reporters Without Borders itu, kita kini pada tangga 122 berbanding 141 pada 2010, naik 19 anak tangga. 

“Di kalangan negara Asia Tenggara, kita berada di tangga pertama menewaskan jiran kita Indonesia yang tidak memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar,” katanya. - BERUTA HARIAN

Wartawan Utusan Malaysia menang Kajai

NAJIB Tun Razak bergambar bersama pemenang Hadiah Kajai Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011 daripada Utusan Malaysia Mohd. Asron Mustapha (dua kiri) dan Mohd. Termizi Che Anuar (dua kanan) pada majlis penyampaian hadiah di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama Chamil Wariya (kanan) dan Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - UTUSAN/MOHD NAIM AZIZ 

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2011: Wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Asron Mustapha dan Mohd. Termizi Che Anuar dipilih sebagai pemenang Hadiah Kajai iaitu anugerah tertinggi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011 di sini malam ini.

Mereka menerima anugerah paling berprestij dunia kewartawanan negara itu menerusi laporan bersiri bertajuk 'Pencemaran Air Ancam Kesihatan Penduduk Kelantan' pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2012 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Kursi Kepimpinan Wanita diwujudkan

PUTRAJAYA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Resolusi Konvensyen Wanita UMNO pada dua tahun lalu untuk mewujudkan Kursi Kepimpinan Wanita tercapai hari ini apabila kerajaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, seiring dengan MoU itu, kementeriannya menyediakan RM500,000 untuk penubuhan Kursi Kepimpinan Wanita tersebut.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur akan mengetuai satu pasukan khas bagi berbincang dengan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin untuk menentukan penyandang kursi tersebut. - UTUSAN

MBS mungkin diusir dari kompleks belia

SHAH ALAM, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Selepas peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghadapi masalah kenaikan kadar sewa premis perniagaan berlipat kali ganda, kini giliran Majlis Belia Selangor (MBS) pula menghadapi kemungkinan diusir dari Kompleks Belia dan Kebudayaan di Seksyen 7 di sini.

Ini berikutan pengurusan kompleks belia berkenaan yang dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri, MSNS Holdings Sdn. Bhd. mahu menaikkan kadar sewa pejabat sehingga 300 peratus.

Sejak mengambil alih pentadbiran negeri, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak menghulurkan sebarang bantuan kewangan kepada MBS dan persatuan belia di bawah naungannya.

Timbalan Presiden MBS, Badrul Hisham Badrudin berkata, kerajaan negeri masih menutup telinga terhadap masalah tersebut sedangkan sudah banyak permohonan pengurangan kadar sewa pejabat MBS diajukan kepada pihak pengurusan. - UTUSAN

Bawaku Pergi tak pernah dihantar untuk dinilai RTM

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Lagu Bawaku Pergi nyanyian pelawak dan pelakon terkenal, Zizan tidak pernah dihantar ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk dinilai sebelum disiarkan stesen-stesen radio di bawah RTM.

Menurut Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, jawatankuasa penilai RTM yang bertanggungjawab juga hanya berkuasa menilai lagu yang dihantar tanpa membabitkan stesen radio swasta lain.

“Lagu tersebut tidak pernah dihantar untuk penilaian pihak kami.

“Pada kebiasaannya, RTM menilai terlebih dahulu setiap lagu yang dihantar sebelum diluluskan untuk disiarkan di stesen radio kami atau sebaliknya,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kontroversi lagu Bawaku Pergi berikutan dakwaan sesetengah pihak mengenai beberapa baris lirik lagu itu seolah-olah menggalakkan golongan remaja untuk lari dari rumah. - UUTSAN

IPT disaran wujud program khusus seni bina Islam

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disaran supaya mewujudkan program seni bina Islam yang khusus agar dapat mengembalikan kegemilangannya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ekoran daripada itu, kementeriannya dan Jaringan Pembangunan Aga Khan akan bekerjasama bagi membantu dalam mempromosikan kurikulum seni bina yang diperlukan.

‘‘Kurikulum seni bina Islam ini mesti ada dalam sistem pendidikan di universiti agar tidak tercicir kerana kita mahu elemen-elemen kesenian Islam sama ada yang lama atau ada sekarang dapat didedahkan kepada semua masyarakat,’’ katanya. - UTUSAN

Melayu perlu dalami sejarah bangsa sendiri – Kay Kim

PUTRAJAYA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Masyarakat Melayu yang berjaya serta menikmati kemewahan hidup diingatkan supaya mendalami sejarah bangsa itu sendiri bagi memastikan masa depan kaum tersebut terus maju ke hadapan tanpa mengira bidang apa sekalipun.

Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, masih ramai masyarakat Melayu di negara ini tidak mengetahui fakta sejarah sebenar bangsa mereka sendiri walaupun telah berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Menurutnya, mendalami sejarah amat penting kerana melaluinya seseorang individu itu akan dapat mengetahui asal-usulnya selain mampu membetulkan sesuatu perkara jika ia disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

“Bangsa Melayu sekarang perlu tahu sejarah kaum mereka, melalui sejarah, sesuatu fakta yang disalah tafsir akan dapat dibetulkan. Jika dilihat masyarakat zaman dahulu, taraf pendidikan mereka amat rendah kerana kekangan ekonomi dan halangan oleh pihak British, namun dengan mengingati sejarah, mereka dapat mencapai kejayaan," katanya. - UTUSAN

Biseksual: GNM gesa Hadi bertindak

PUTRAJAYA, JUMAAT, 30 Mac, 2011: Pemimpin Pas termasuk presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa bertindak menyatakan pendirian sama ada golongan biseksual boleh diterima sebagai pemimpin di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, tindakan Pas yang terus berdiam diri seolah-olah menggambarkan parti itu menyokong secara senyap golongan biseksual untuk menjadi pemimpin negara.

''Kami sedar bukan semua pemimpin Pas bersetuju tetapi disebabkan gilakan kuasa politik, inilah yang berlaku.

''Tanpa mereka sedari maruah Islam dipermainkan dan dipergunakan dengan rakus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua tokoh ulama di Kelantan semalam iaitu Abdullah Sa'amah dan Prof. Madya Mohd. Noor Deris menyeru umat Islam supaya menolak pemimpin yang mengamalkan biseksual kerana amalan tersebut dilaknat oleh Allah. - UTUSAN

Friday 30 March 2012

Demonstrasi desak Guan Eng jelas isu tapak masjid

GEORGETOWN, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Lebih 50 orang ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai demonstrasi secara aman di sini hari ini mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng, memberi penjelasan mengenai dakwaan kerajaan negeri menjual tapak masjid di Bayan Mutiara di sini. 

Mereka berarak sejauh satu kilometer dari Masjid Simpang Enam selepas solat Jumaat dan berkumpul di perkarangan KOMTAR membawa sepanduk dan kain rentang yang tertulis pelbagai kata-kata desakan.

Antaranya ialah "Kembalikan Tanah Masjid di Bayan Mutiara", "Rakyat Mendesak Tanah Masjid Bayan Mutiara Diwakafkan" dan "Pulangkan Tapak Masjid".

Antara NGO yang menyertai perhimpunan itu ialah Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Suara Anak-anak Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Malaysia, Persatuan Anak Jati Melayu Islam Pulau Pinang dan Badan Bertindak Rakyat Tertindas Pulau Pinang. 

Beberapa wakil pertubuhan itu kemudian naik ke aras tiga bangunan KOMTAR yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Pembantu Khas Ketua Menteri, Marziah Mohd Mukhtar. 

Jurucakap penganjur perhimpunan itu, Mohd Rizuad Mohd Azudin, berkata mereka tidak puas hati dengan jawapan "tiada komen" yang sering diberikan Lim jika isu mengenai tanah itu dibangkitkan. 

"Kami minta Ketua Menteri Pulau Pinang dapat memberikan jawapan secara bertulis dalam tempoh tujuh hari.

"Buktikan slogan 'Competency, Accountability dan Transparency' yang selalu dilaungkan kerajaan negeri, bukan sekadar retorik politik semata-mata. Rakyat berhak tahu perkara sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi perhimpunan itu. 

Kontroversi tanah Bayan Mutiara timbul selepas kerajaan negeri dilaporkan menjual tanah seluas 41.5 hektar itu kepada sebuah syarikat pemaju dengan harga RM1.07 bilion. 

Tanah itu dianggap berharga dan lokasinya strategik kerana terletak berdekatan Jambatan Pulau Pinang, Zon Perdagangan Bebas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. - BERNAMA

Separuh generasi muda tidak mendaftar sebagai pengundi

PETALING JAYA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Sekurang-kurangnya separuh daripada bilangan golongan muda yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih tidak berminat berbuat demikian, menurut kaji selidik firma tinjauan pendapat, Merdeka Centre dan Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI). 

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berkata kajian yang dijalankan tahun lalu itu mendapati mereka yang berumur antara 21 dan 30 tahun tidak berminat kerana mereka merasakan ia tidak penting atau memerlukan tindakan segera.

Ia membabitkan 2,400 responden berusia 21 tahun ke atas yang dipilih secara rawak daripada 240 daerah mengundi di 60 kawasan Parlimen seluruh negara.

"Responden juga menegaskan bahawa mendaftar sebagai pemilih, atau mengundi, tidak membawa apa-apa perubahan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Laporan Audit Daftar Pemilih Kebangsaan 2011, di sini. 

Ibrahim berkata, walaupun satu juta pemilih baru mendaftar dalam tempoh lebih setahun, bilangan golongan muda yang tidak menyedari hak mereka untuk mengundi, adalah masih tinggi. 

"Kajian itu menunjukkan bilangan mereka yang tidak berdaftar adalah tinggi di kalangan Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak, dan golongan yang berusia antara 21 dan 30 tahun yang tinggal di kawasan bandar," katanya. 

Dalam perkembangan lain, pemangku Pengerusi NIEI, K Shan, berkata NIEI sudah menyerahkan laporan cadangan penambahbaikan pilihan raya kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Berhubung Pilihan Raya pada Januari lalu. - BERNAMA

Malaysia satu-satunya negara kekal subsidi RON95

BERA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia yang masih lagi mengekalkan harga minyak petrol RON95 pada kadar RM1.90 seliter sekali pun berlaku kenaikan harga minyak di pasaran antarbangsa. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional tidak pernah berhasrat memberhentikan bantuan subsidi bahan api itu kepada rakyat.
"Jika tidak diberikan subsidi, harga minyak petrol akan naik RM2.93 seliter dan ini akan membebankan rakyat.

"Pemberian subsidi adalah bagi mengelakkan rakyat daripada menanggung beban berterusan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek bantuan pembangunan kerajaan pusat berjumlah RM307,643.56 untuk diagihkan kepada 14 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di kawasan Parlimen Bera, di sini hari ini. 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata pada tahun ini sahaja kerajaan memperuntukkan RM17 bilion bagi subsidi petrol, diesel dan Gas LPG berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM15 bilion. 

"Pemberian subsidi ini membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional amat prihatin dan membela rakyat," katanya. - BERNAMA

PTPTN peruntuk RM5 bilion untuk pinjaman tahun ini

TEMERLOH, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM5 bilion bagi tujuan pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi untuk tahun ini. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM3.37 bilion diberikan kepada peminjam sedia ada manakala baki kepada peminjam baru.

"Sehingga 29 Februari lalu, jumlah keseluruhan pinjaman PTPTN adalah sebanyak RM43.60 bilion dan membabitkan 1.95 juta peminjam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa, Guru dan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, hari ini.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau meminta ibu bapa dan guru duduk semeja berbincang bagi mempertingkatkan pelajaran anak-anak. 

"Penubuhan Majlis Permuafakatan adalah landasan terbaik dalam menyusun atur bagi meningkatkan lagi bidang pelajaran anak-anak terutamanya di peringkat sekolah rendah dan menengah," katanya. - BERNAM

10 sekolah ditutup di Klang berikutan banjir kilat

KLANG, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Sepuluh sekolah ditutup hari ini selepas banjir kilat melanda beberapa kawasan di Klang, kata Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Yunus. 

Beliau berkata sekolah berkenaan membatalkan sesi pagi persekolahan manakala beberapa sekolah lain terpaksa ditutup sepanjang hari ini.

"Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah adalah salah sebuah sekolah yang perlu ditutup sepanjang hari kerana kedudukan air separas lutut," katanya apabila dihubungi hari ini.

Ditanya adakah sekolah berkenaan akan mengadakan kelas tambahan pada hujung minggu, beliau berkata itu bergantung kepada keputusan Kementerian Pelajaran. 

Antara sekolah yang terjejas ialah SMK La Salle, SRK Simpang Lima, Sekolah Teknik Batu Ujong dan Sekolah Tinggi Hin Hua. 

Sementara itu, banjir di Kampung Raja Tun Uda, Kampung Delek dan Sungai Udang sudah beransur reda. - BERNAMA

Bekas KSU MOSTI dilepas, dibebas atas tuduhan rasuah

SHAH ALAM, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Abdul Hanan Alang Endut daripada 10 tuduhan rasuah RM59,390.60 empat tahun lalu. 

Hakim M Bakri Abd Majid memutuskan untuk tidak memanggil Abdul Hanan, 61, membela diri selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan 'prima facie' dalam pertuduhan itu. - BERITA HARIAN ONLINE

KTMB janji perkhidmatan komuter lebih baik mulai Julai

KUALA LUMPURJUMAAT, 30 Mac, 2012: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka dapat menyediakan perkhidmatan komuter lebih efisien sekitar Lembah Klang dengan kekerapan 15 minit mulai Julai ini. 

Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan, berkata bahawa pada Mei ini KTMB akan menerima lapan set perkhidmatan tren MyKomuter enam gerabak (SCS).

"Sebanyak 38 set tren MyKomuter akan diterima secara berperingkat menjelang Julai ini, dan daripada jumlah itu, 34 set digunakan dan empat set lagi dijadikan sebagai tren penyelenggaraan bagi tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

"Setakat ini, KTMB masih lagi mengekalkan kekerapan setiap 30 minit perjalanan setiap stesen dengan penggunaan 29 tren, tujuh set tren MyKomuter, dua set tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) enam gerabak, dan sokongan 20 set sistem Unit Tren Elektrik Pelbagai Guna (EMU) yang sedia ada bagi membantu operasi ketika waktu puncak," katanya kepada pemberita bagi menjelaskan Operasi SCS MyKomuter di sini hari ini. 

Aminuddin berkata, pemandu tren bagi sistem MyKomuter ini masih dalam proses penyesuaian dan mereka yang sudah dilatih belum mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan set MyKomputer SCS yang baru. 

"Ini kerana terdapat beberapa perbezaaan dengan set tren EMU yang lama kerana sistemnya lebih canggih," katanya. 

KTMB dalam proses melatih 220 pemandu tren untuk memahirkan mereka daripada segi pengendalian tren itu.

Aminuddin berkata, sempena pelancaran tren MyKomuter baru-baru ini, promosi giat dijalankan oleh KTMB dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan itu, antaranya dengan menawarkan perjalanan percuma bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas, Orang Kurang Upaya dan pelajar sekolah beruniform dari Mac hingga September ini. 

KTMB turut menyediakan 100,000 baucar bernilai RM2 untuk diberikan sekitar Lembah Klang serta potongan 50 peratus bagi pembelian tiket mingguan dewasa selain 10,000 baucar kepada pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perak yang berdekatan stesen KTMB sepanjang April ini. - BERNAMA

HFMD: 83 kes baru dilaporkan hari ini

KUCHING, JUMAAT, 3O Mac, 2012: Sebanyak 83 kes baru penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatat di Sawarak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes itu sehingga kini ialah 3,949. 

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zulkifli Jantan, dalam kenyataannya berkata jumlah kes baru yang dilapor hari ini lebih tinggi berbanding 59 kes yang dicatat semalam.

Beliau berkata, 28 daripada kes baru itu dicatat di Kuching, Bintulu (12), Limbang (10), Miri dan Sarikei (masing-masing tujuh), Betong dan Samarahan (masing-masing enam), Sri Aman (tiga), Mukah (dua), Kapit dan Sibu (masing-masing satu).

Dr Zulkifli berkata, jumlah pesakit HFMD yang dirawat di hospital juga meningkat kepada 314 orang berikutan 11 pesakit dimasukkan ke wad hari ini. 
Keadaan mereka tidak serius. - BERNAMA

Peguam didakwa pecah amanah RM12j wang Orang Asli

KUALA LUMPUR, JUMAATT, 30 Mac, 2012: Peguam S Kanawagi, 71, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 11 pertuduhan pecah amanah melibatkan dana tabung amanah "Linggui Valley Orang Asli Trust" berjumlah RM12 juta. 

Anaknya K Dinesh Kanavaji, 34, juga seorang peguam, turut mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan bersubahat dalam meluluskan pengeluaran RM7 juta daripada tabung amanah itu.

Bagi pertuduhan pertama, Kanawagi didakwa dengan curangnya telah meluluskan pengeluaran RM7 juta daripada tabung amanah itu bagi pembelian 27 unit kondominium di Lantai Gurney, Jalan Semarak antara 14 Julai 2008 hingga 13 Julai 2009.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa membuat dua pemindahan telegrafik membabitkan RM328,279 pada 2003 dan RM47,933 pada tahun berikutnya. 

Kanawagi juga menghadapi tujuh pertuduhan mengeluarkan wang daripada akaun amanah itu dari tahun 2001 hingga 2008, membabitkan nilai antara RM21,500 dan RM1,158,160. 

Bagi pertuduhan ke-11, dia didakwa telah bertindak bertentangan dengan "trust deed" dengan mengeluarkan wang sebanyak RM2.2 juta untuk membayar seorang bernama Hamzah Mohamed Tahir. 

Semua 11 pertuduhan itu didakwa dilakukan di pejabat guamannya di Tetuan Khana & Co di No 3, Jalan Abdullah, Off Jalan Bangsar.

Dinesh Kanavaji pula didakwa bersubahat dengan ayahnya dalam meluluskan pengeluaran RM7 juta dalam pembelian kondominium berkenaan untuk kepentingannya serta syarikat Virgin Properties, di mana tertuduh adalah seorang daripada anggota lembaga pengarah syarikat berkenaan. 

Hakim Mahmud Abdullah menetapkan jaminan sebanyak RM700,000 dengan dua orang penjamin kepada Kanawagi, manakala Dinesh Kanavaji pula dikenakan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin. 

Beliau mengarahkan kedua-duanya menyerahkan paspot antarabangsa kepada mahkamah dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes. 

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Manjeet Singh Dhilon manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read dan C Vignesh Kumar. 

Pada 11 Mei tahun lalu, Kanawagi telah dipenjara enam tahum dan didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen setelah didapati bersalah menggunakan surat wakil kuasa yang dipalsukan dalam menyediakan afidavit membabitkan satu hartanah di Bangsar. - BERNAMA

Perkauman: MPK lapor polis terhadap tiga ahli majlis

KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan tiga anggotanya dan seorang bekas anggota yang memainkan isu perkauman serta memburukkan nama baik pihak berkuasa tempatan itu. 

Yang Dipertua MPK, Rosley Mat, berkata laporan itu dibuat selepas mesyuarat penuh MPK yang berlangsung di sini hari ini sebulat suara memutuskan tindakan itu adalah yang terbaik dalam menangani perkara berkenaan.

"Isu bermula apabila semua anggota lelaki MPK diwajibkan memakai songkok ketika menghadiri mesyuarat yang berkuat kuasa hujung tahun lalu, namun tiga anggota terbabit membantah dan enggan menghadiri mesyuarat kerana peraturan itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Rosley turut mendakwa tiga anggota terbabit memainkan sentimen perkauman. 

"Diharapkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menggantikan ketiga-tiga mereka ini dengan anggota baru kerana tindakan mereka tidak menghadiri mesyuarat merugikan rakyat khususnya di kawasan yang mereka wakili," katanya. - BERNAMA

Warga Kemboja ditahan cuba beri rasuah

MELAKA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Seorang warga Kemboja ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa ketika operasi penguatkuasaan bersepadu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka bersama 10 badan dan agensi kerajaan lain, semalam. 

Pengarah CIDB Melaka, Norlida Nabil, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di satu tapak pembinaan di Mukim Ayer Panas, Jasin kerana tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah, tinggal melebihi had tempoh masa dan menyalahguna pas lawatan.

Beliau berkata, lelaki terbabit cuba memberi wang RM230 sebagai sogokan kepada anggota penguat kuasa.

"Lelaki itu kemudian ditahan reman Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata, operasi itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam industri khususnya syarikat pembinaan serta orang awam terhadap pentingnya mematuhi akta berkaitan industri pembinaan. 

Operasi itu dilakukan di empat lagi tapak projek pembinaan iaitu di Cheng, Sungai Udang, Taman Saujana Bukit Katil dan Kampus Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). 

Norlida berkata, hasil operasi mendapati terdapat kerja pembinaan yang dilaksanakan dengan menggunakan perakuan pendaftaran kontraktor yang sudah luput. 
"Notis memberhentikan kerja serta merta dikeluarkan CIDB Melaka terhadap sebuah syarikat kontraktor atas kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 25 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520)," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya mengesan kira-kira 80 peratus daripada 400 pekerja yang diperiksa tidak memiliki Kad Hijau iaitu kad yang dikeluarkan CIDB bagi mendaftarkan semua pekerja di tapak binaan. - BERNAMA

Pekerja restoran dipenjara, sebat kerana rogol bekas kekasih

PETALING JAY, JUMAAT, 30 Mac, 2012A: Seorang pekerja restoran hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah merogol bekas kekasihnya, tiga tahun lalu. 

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasah terhadap Shahrizad Abu Hasan, 24, di akhir kes pembelaan.

Balqis dalam penghakimannya berkata walaupun tertuduh melakukan perbuatan seksual itu bersama mangsa secara sukarela namun perbuatan itu dianggap sebagai merogol kerana melibatkan mangsa bawah umur.

Shahrizad didakwa merogol remaja perempuan itu yang ketika kejadian berusia 15 tahun di rumahnya (Shahrizad) di Jalan PJU 1A/42, Taman Putra Lembah Subang, Petaling Jaya, dekat sini, 27 Jun 2009. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan. 

Terdahulu peguam Faizul Mohd Nasir memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan atas alasan kesalahan pertama dan Shahrizad hanya berpendapatan RM20 sehari. 

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir. - BERNAMA

Dadah: 889 rakyat Malaysia ditahan di luar negara

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Seramai 889 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan dadah sejak 10 tahun lalu, sekali gus menjadikan jumlah paling tinggi rakyat negara ini ditahan atas kesalahan itu berbanding kes jenayah lain yang dilakukan di negara luar. 

Ini diikuti dengan pemalsuan kad kredit iaitu 248 orang, lain-lain (158), mencuri (105), Imigresen (85), jenayah komersial (84), menipu (65), pemerdagangan manusia (50), pemalsuan dokumen (44) dan membunuh seramai 27 orang.

Pegawai Khas Menteri Luar, Neow Choo Seong, berkata satistik Kementerian Luar dari 1991 hingga tahun lalu itu juga mendedahkan jumlah keseluruhan rakyat negara ini ditahan di negara luar adalah seramai 1,941 orang.

"Seramai 1,755 yang ditahan sudah disabitkan kesalahan, manakala 186 lagi sudah dibebaskan," katanya dalam satu seminar Kesedaran Rakyat Mengenai Keldai Dadah (SEDARLAH) di Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskills di sini, semalam. - BERNAMA

Siasatan kes remaja perempuan ditemui di Thailand selesai

SHAH ALAM, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Kes remaja perempuan yang ditemui di Thailand dan mendakwa kononnya diculik sudah selesai, menurut polis. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt Mazlan Othman, berkata siasatan kes itu sudah selesai dan polis kini menunggu maklum balas daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

"Kami sudah serahkan remaja perempuan itu kepada ibunya dan semua lima remaja Myanmar kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Mereka sudah menerimanya dan semua sudah selesai," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Sukan Polis Selangor di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Remaja perempuan dan lima remaja Myanmar berusia antara 14 dan 17 tahun itu diselamatkan polis Thailand di Bangkok pada 19 Mac lalu. - BERNAMA

Penghantar surat rompak usahawan diarah bela diri

PETALING JAYA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang penghantar surat membela diri terhadap pertuduhan merompak seorang usahawan dengan menggunakan sebilah parang, tujuh tahun lalu.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap S Arokiasamy, 25, di akhir kes pendakwaan.

Arokiasamy didakwa merompak 11 keping kad kredit milik Kong Teck Wei, 49, di stesen minyak Shell Jalan 21/1 Sea Park, Selangor, pada jam 4.10 pagi, 6 Disember 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan.

Mahkamah menetapkan 19 dan 20 April depan untuk mendengar kes pembelaan. - BERNAMA

Kerabat diraja, kenamaan, rakyat ziarah jenazah Raja Ashman

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaminkan doa ketika menziarahi jenazah Almarhum Raja Datuk Seri Ashman Shah, 54, di Balairongseri Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar, hari ini. Almarhum Raja Ashman Shah mangkat di kediamannya di Bukit Damansara pada 1.30 pagi tadi dan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar. - Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Kerabat diraja dan orang kenamaan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menziarahi jenazah anakanda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini. 

Raja Ashman, 54, mangkat di kediamannya di Kuala Lumpur awal hari ini akibat serangan asma.

Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba kira-kira 3.40 petang untuk menziarahi jenazah yang ditempatkan di ruang khas tingkat dua bangunan istana berkenaan.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara bersama-sama kesemua anggota keluarga diraja itu berada di Istana Iskandariah. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut berada di ruang berkenaan. 

Bacaan ayat suci al-Quran juga diperdengarkan oleh hadirin yang menziarahi jenazah Almarhum. 

Perasaan hiba dan sayu menyelubungi suasana di istana berkenaan terutama balu baginda, Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin dan putera mereka Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia. 

Turut kelihatan ibu bapa dan keluarga Noraini Jane. 

Orang awam tidak putus-putus menziarahi jenazah Almarhum sejak 11 pagi. 

Terdahulu, turut menziarahi ialah Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - BERNAMA

Tuntutan balas terhadap Shahrizat jalil

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli, membuat tuntutan balas terhadap saman RM100 juta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berhubung isu projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC). 

Mohd Rafizi mengemukakan tuntutan balasnya itu pada 8 Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan mendakwa Shahrizat melancarkan serangan peribadi dan berdendam terhadapnya semasa berucap di perhimpunan Agung Wanita UMNO pada 30 November tahun lalu.

Pihak yang menuntut mendakwa bahawa kata-kata Shahrizat itu diterbitkan semula dalam laman web, media cetak dan online yang membawa maksud Mohd Rafizi tidak jujur, tidak setia, penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa dan agama.
Antara yang dituntut Mohd Rafizi ialah gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan. 

Sementara itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera, yang mendengar tuntutan itu hari ini, menetapkan 12 April untuk pengurusan kes. 

Pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Mohd Rafizi dan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin, berhubung kenyataan yang didakwa memfitnahnya (Shahrizat). 

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan. 

Ketua Wanita UMNO itu juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadapnya berhubung National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) atau syarikat-syarikat bersekutu. 

Shahrizat mendakwa kedua-dua defendan secara bersistem dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk "serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif" dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadapnya. 

Shahrizat diwakili peguam Nurul Nabila Zamri manakala Mohd Rafizi oleh peguam Ranjit Singh dan Zuraida pula diwakili oleh S Ravindran. - BERNAMA

Rangka manusia ditemui tertimbus dalam tanah di Nenasi

PEKAN: Satu rangka manusia ditemui tertimbus dalam tanah di Kampung Serun, dekat Nenasi, di sini, Rabu lalu.

Rangka manusa itu ditemui dua lelaki yang mengendalikan sebuah jengkaut bagi pembinaan jalan di kawasan berkenaan jam 12 tengah hari.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T Narenasegaran, berkata rangka yang ditemui tertimbus di Kilometer 54 Jalan Pekan-Rompin dekat kampung Serun itu dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

"Dua lelaki berkenaan yang berusia 30-an terkejut selepas mendapati rangka manusia tertimbus di kawasan berkenaan sebelum menghubungi pihak polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - BERNAMA

Klang dilanda banjir kilat

BEGINILAH keadaan padang Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle Klang yang banjir selepas hujan lebat di Klang, hari ini. Banjir kali ini lebih teruk berbanding dua hari lalu yang menimpa sekolah. - Foto Osman Adnan

KLANG, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Beberapa kawasan termasuk perumahan dan sekolah di Klang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak 3.30 pagi tadi.

Antara kawasan perumahan yang terjejas ialah Taman Sri Andalas, Taman Selatan, Taman Bayu Perdana and Taman Melawis, Taman Sentosa, Taman Sungai Ujong, Taman Palmgrove, Padang Jawa and Taman Chi Liung.

Banjir kilat itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sekitar kawasan terbabit. - BERITA HARIAN ONLINE

Pemimpin biseksual: Pas dicabar nyatakan pendirian

PUTRAJAYA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Pemimpin Pas termasuk presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menyatakan pendirian sama ada golongan biseksual boleh diterima sebagai pemimpin di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, tindakan Pas yang terus berdiam diri seolah-olah parti itu menyokong secara senyap golongan biseksual untuk menjadi pemimpin negara.

Semalam, dua tokoh ulama Kelantan menyeru umat Islam supaya menolak pemimpin yang mengamalkan biseksual kerana amalan tersebut dilaknati Allah. - UTUSAN

Lebih 100 berkumpul bantah Anwar sokong Israel

Oleh ILAH HAFIZ ABD. AZIZ

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Lebih 100 wakil pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut di sini bagi membantah sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Israel dan rejim Zionis itu.

Dalam demonstrasi selama sejam bermula pukul 11 pagi itu, mereka turut menyerahkan memorandum kepada wakil Pas. – Utusan

Jabatan Penjara nafi Hoslan Islamkan 2 banduan

UALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan sebuah media online berhubung bekas imam yang dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah selepas membaling selipar ke arah hakim, Hoslan Husin yang didakwa mengislamkan dua banduan dan menjadi imam di penjara Kajang. 

Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Penjara, Supri Hashim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah menghantar pegawai untuk menyiasat perkara tersebut dan hasil siasatan mendapati laporan itu tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai.

"Ibu Pejabat Penjara sudah menghantar pegawai untuk menyiasat laporan media berkenaan kerana mendapati ia bertentangan dengan tatacara dan prosedur jabatan," katanya.

Semalam, akhbar Harakah Daily melaporkan dan memetik kata-kata isteri Hoslan, Noorliza Mohd Isa yang memberitahu suaminya mengislamkan dua banduan selain mengajar fardu ain serta menjadi imam kepada banduan lain ketika solat berjemaah. - BERNAMA

Pembeli rumah kesal PDC larang pemesangan lampu, kipas

GEORGETOWN: Lebih 700 pembeli rumah kos rendah dan sederhana rendah Halaman Kenanga di Bayan Baru, dekat sini, kesal dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang menghalang pemasangan lampu dan kipas di kediaman mereka walaupun mendapat kunci rumah pada 4 Mac lalu. 

Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Kos Rendah dan Sederhana Rendah Halaman Kenanga, Habibur Rahman Seeni Mohamed, berkata arahan tersebut dikeluarkan PDC dengan menyerahkan satu salinan injunksi mahkamah dan memo arahan.

Beliau berkata, apa yang menimbulkan tanda tanya, mengapa kebenaran menduduki unit kediaman itu dikeluarkan sedangkan lampu dan kipas tidak boleh dipasang menyebabkan pembeli tidak dapat berpindah masuk ke unit kediaman mereka.
Katanya, terkini pihak pemaju mengeluarkan arahan terbaru selepas jawatankuasa ini dijadualkan berjumpa dengan pihak pengurusan PDC pada jam 3 petang ini. 

"Saya minta PDCP bertanggungjawab dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat kotakan janji pada 4 Mac...majlis penyerahan kunci. Ini adalah janji palsu!," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - BERNAMA

Individu letak mercun di tandas stesen LRT bukan pakar bom

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Individu yang meletakkan mercun pada penutup mangkuk tandas di Stesen LRT Sri Rampai, Rabu lalu yang mengakibatkan seorang lelaki cedera, bukannya pakar membuat bom, kata polis. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata anggota-anggota forensik polis mengenal pasti bahan api yang digunakan hanyalah sejenis mercun.

"Ia bukan dilakukan oleh mereka yang pakar membuat bahan api...ia hanyalah sejenis mercun, bukan bom kerana tiada sumbu, bateri atau mempunyai jangka masa untuk diletupkan.

"Kita telah mendapatkan rakaman CCTV yang merakam suspek yang masuk ke dalam tandas itu sebelum mangsa. Kita akan teliti untuk mengesannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Ku berkata perbuatan individu itu juga tidak menyasarkan pihak tertentu. 

"Mungkin suspek telah menyalakan mercun berkenaan terlebih dahulu di belakang penutup tandas itu sebelum keluar," katanya. 

Dalam kejadian 1.15 petang itu, Muhammad Sakereen Basri, 22, cedera di bahagian belakang dan paha kirinya apabila penutup mangkuk tandas, yang sedang digunakannya, meletup dan pecah dipercayai akibat mercun. - BERNAMA

Pemandu teksi bebas tuduhan bunuh

SHAH ALAM, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Pemandu teksi, Mokhtar Mohd. Zin, 50, yang didakwa menembak mati seorang setiausaha sulit, Siti Shamiza Ab. Zarim di perkarangan letak kereta pasar raya Giant, Batu Caves tujuh tahun lalu dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Sementara dua lagi tuduhan yang turut dihadapi Mokhtar iaitu merompak sebuah kereta milik setiausaha dan cubaan membunuh seorang penyelia akan diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang, 18 April ini. - UTUSAN

Penyenaraian FELDA wajar dilakukan

KERTEH, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi) menyokong rancangan kerajaan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia yang dilihat dapat memanfaatkan subsidiari FELDA itu untuk bersaing di pasaran terbuka. 

Naib Presidennya, Ahmad Faizal Mohamed Yusop, berkata penyenaraian itu adalah langkah tepat dan perlu dilakukan bagi menyediakan pasaran yang lebih luas untuk syarikat di peringkat antarabangsa.

"Jika FELDA disenaraikan, ia amat baik bagi pasaran tempatan dan FELDA itu sendiri...secara tidak langsung, FELDA akan mewujudkan permodalan pasaran yang lebih besar," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Berikutan rancangan itu, beliau berkata, Pribumi dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan Sekretariat Pendidikan Pelaburan Peneroka Generasi Felda (S3PGF) yang akan menjelajah seluruh negara bertujuan menerangkan kepada peneroka berkaitan selok belok pelaburan saham. - BERNAMA

PGVH: 7 NGO Felda serah memorandum kepada PM

PUTRAJAYA, JUMAAT, 29 Mac, 2012: Tujuh NGO FELDA hari ini menyampaikan memorandum tanda sokongan kepada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Memorandum itu disampaikan oleh wakil mereka Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Antara mesej utama memorandum itu ialah generasi baru FELDA memberikan sokongan padu terhadap langkah penyenaraian, menolak segala campur tangan serta hasutan daripada pihak luar dan mendesak usaha penyenaraian dapat disegerakan.

Sementara itu Ahmad ketika ditemui pemberita berkata, penyenaraian akan diteruskan dan dijangka akan dilaksanakan pada Jun depan. Segala persiapan mengenai penyenaraian sedang giat dilaksanakan. 

"Walaupun terdapat gangguan yang lebih bermotifkan politik daripada pihak pembangkang dan terlewat sikit daripada jadual asal iaitu Mei, ia akan diteruskan," katanya. 

Ini kerana proses penyenaraian itu juga menurutnya mendapat maklum balas positif sebahagian besar masyarakat FELDA demi membela nasib peneroka. - BERNAMA

Anak peguam ke penjara

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Anak seorang peguam hari ini dipenjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah kepada bekas pengawal keselamatan, dua tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Prajiv Lionel Proctor di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini dan tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.
Tertuduh dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Prajiv, 30, yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Melaka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Mohd Al-Hafiz Abdullah, 27, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging di dalam Kaunter Stadium Hoki, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Cheras pada jam 9.05 malam, 23 April 2010.

Kejadian itu menyebabkan Mohd Al-Hafiz mengalami kecederaan pada leher kanan, belakang badan (belikat) kanan, lengan kanan dan kiri, jari telunjuk kanan, paha, lutut kiri, betis kanan dan di bawah punggungnya.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan. 

Terdahulu, peguam V Rajehgopal yang mewakili Prajiv memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya supaya Prajiv boleh melanjutkan pelajarannya yang tergendala di sebuah kolej di Australia akibat kejadian yang berlaku.

"Bapa Prajiv adalah seorang peguam dan kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan pertamanya," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohd Hanifa memohon hukuman berat kerana tertuduh menyebabkan kecederaan yang teruk kepada mangsa dan hukuman yang diberikan bukan saja dapat memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi kepada orang lain.

Pihak pendakwaan mengemukakan seramai enam saksi manakala pembelaan memanggil dua saksi termasuk tertuduh untuk memberi keterangan.

Turut hadir dalam prosiding hari ini ialah mangsa, Mohd Al-Hafiz bersama bapanya. - BERNAMA

Malaysia sokong usaha pembaharuan Myanmar

NAYPYIDAW, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Malaysia yakin pendemokrasian politik yang sedang berlaku di Myanmar adalah satu proses berterusan yang akan menjadikan negara ini lebih terbuka, demokratik serta lebih progresif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai rakan yang sentiasa berada di sisi pada waktu susah dan senang, Malaysia akan terus menyokong dan memberi galakan kepada Myanmar agar pembaharuan politik itu berjaya.

"Dalam pertemuan saya dengan Presiden Thien Sein, beliau menegaskan perubahan yang berlaku adalah satu proses berterusan dan mereka tidak akan berpatah balik. Kita akan memberi sokongan dan galakan kepada mereka,'' katanya pada sidang akhbar di hari terakhir lawatan rasmi dua hari beliau ke negara ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar di sini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Chua Tee Yong. - UTUSAN

LHDN kembalikan borang pembayar cukai tidak lengkap

CYBERJAYA, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Mulai tahun ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memulangkan semua Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) pembayar cukai yang tidak lengkap.

Langkah ini diambil memandangkan kelonggaran yang diberikan selama ini kepada pembayar cukai yang menghantar BNCP tidak lengkap diambil mudah oleh sebilangan daripada mereka.

LHDN dalam satu kenyataannya hari ini berkata, selepas Sistem Taksir Sendiri (STS) diperkenalkan sejak 11 tahun (syarikat) dan tujuh tahun (individu), masih banyak borang tidak lengkap diterima.

"Bagi tahun 2011, LHDN telah menerima 268,709 BNCP tidak lengkap. Angka ini walaupun susut berbanding tahun 2010 iaitu sebanyak 317,991, namun ia masih dianggap tinggi dan perlu diatasi segera," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, pembayar cukai hendaklah mengembalikan semula BNCP yang telah lengkap ke Jabatan Pemprosesan Maklumat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia di Pandan Indah, Kuala Lumpur sebelum 30 April 2012 bagi Borang BE dan 30 Jun 2012 bagi Borang B . - UTUSAN

DAP cenderung isu perkauman

KUANTAN, KHAMIS, 29 Mac, 2012: DAP didakwa semakin giat memainkan isu perkauman termasuk meminta masyarakat Cina bersatu memberi sokongan kepada mereka bagi membolehkan negeri lain turut mengikut ‘jejak langkah’ Pulau Pinang yang diterajui oleh parti itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, malah di hadapan masyarakat Cina, pemimpin DAP mendakwa segala masalah yang berlaku di negara ini berpunca daripada UMNO dan oleh itu orang Cina perlu bersatu menyokong mereka.

Menurutnya, DAP juga menuduh MCA sebagai penghalang kepada usaha mereka untuk menguasai negeri-negeri lain.

“Sekarang DAP memainkan isu-isu perkauman. Kebelakangan ini juga, ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di mana-mana sahaja, dia suka menyentuh kejayaan membentuk kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh pemimpin DAP," katanya. - UTUSAN

Krisis politik berpanjangan beri kesan negatif

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Krisis politik yang berpanjangan boleh mewujudkan lebih banyak kesan negatif kepada masyarakat India menjelang 2020 sekiranya tidak ditangani segera, kata penganalisis politik, Anbumani Balan.

Katanya, dalam percaturan politik, segala perbezaan pandangan, cadangan dan kritikan perlu dibuat dalam konteks yang positif bagi membina penyatuan bangsa India yang lebih dinamik.

"Politik tidak boleh dijadikan gelanggang untuk menikam, berpecah atau bermusuhan. Masyarakat India memerlukan kuasa politik yang mantap untuk memperkasa proses penyatuan bangsa di bawah satu bumbung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyarankan supaya masyarakat India bersatu di atas semangat bangsa dan agama di negara ini selepas merasmikan pertubuhan NGO Perinbam di PWTC, baru-baru ini. - UTUSAN

Nik Aziz, ilmuan Islam perlu beri penjelasan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Cendekiawan Islam termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta memberi penjelasan sama ada golongan gay atau biseksual boleh diterima sebagai imam atau pembaca khutbah di masjid-masjid negeri.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, persoalan tersebut perlu dijawab memandangkan terdapat pihak yang menganggap masalah moral seseorang pemimpin itu tidak wajar dicampur kerana itu merupakan hal peribadinya.

“Saya ingin menegaskan bahawa ini bukannya soal politik. Sebaliknya, perkara ini penting kerana sejak kebelakangan timbul fahaman bahawa akhlak buruk adalah masalah peribadi yang tiada kaitan dengan kualiti menjadi pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan segelintir pihak yang secara membuta tuli mengagung-agungkan pemimpin yang mempunyai masalah moral sambil menyifatkan ia sebagai hal peribadi yang tidak wajar dicampur pihak lain. - UTUSAN

Guan Eng perlu jawab isu tapak masjid Bayan Mutiara

SHAIK Hussein Mydin (depan, tengah) mengadakan sidang akhbar mengenai isu tapak masjid dan sekolah Bayan Mutiara di Menara Umno Jalan Macalister, Pulau Pinang, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir (depan, kiri) dan ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim (kanan).

PULAU PINANG, RABU, 29 Mac, 2012: Pemuda UMNO negeri tidak gentar dengan 'ugutan' Ketua Menteri, Lim Guan Eng mahu menyaman pergerakan itu berhubung isu penjualan tapak masjid di Bayan Mutiara kepada pemaju swasta.

Malah, ketuanya, Shaik Hussein Mydin memberi amaran kepada Guan Eng agar memulangkan semula tapak masjid berkenaan kerana ia boleh mencetuskan isu perkauman.

"Saya tidak kisah jika dia nak buat pembangunan macam mana rupa sekalipun tetapi tapak masjid Bayan Mutiara jangan kacau, ini perkara serius. Ia milik orang Islam," tegasnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Pulau Pinang di sini hari ini. - UTUSAN

Syor Dr. Mahathir relevan – Ahmad Zahid

BAGAN DATOH, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya UMNO membuka peluang kepada golongan profesional sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah relevan dengan senario politik semasa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan bekas Perdana Menteri itu adalah seiring kecenderungan pengundi memilih wakil rakyat yang mempunyai pengalaman serta latar belakang pendidikan dalam segenap bidang.

‘‘Cadangan Tun Mahathir juga sesuai dengan tuntutan supaya UMNO dan BN mempunyai calon yang bukan sahaja mempunyai kewibawaan, tetapi juga berupaya memberi khidmat secara profesional kepada rakyat.

‘‘Tentunya menjadi satu kerugian jika golongan ini tidak diketengahkan. Dalam UMNO dan BN sebenarnya mempunyai ramai golongan profesional untuk diberi peluang bertanding tetapi tidak salah untuk kita ketengahkan orang luar jika mampu beri kita kemenangan,” katanya. - UTUSAM

Mahkamah diberitahu Anwar enggan terima serahan sapina

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mac, 2012: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menerima sapina yang hendak diserahkan kepadanya di Bangunan Parlimen petang semalam.

Peguam, D.Paramalingam berkata, beliau akan cuba sekali lagi menyerahkan sapina itu kepada Anwar dan sekiranya gagal juga beliau akan memohon perintah mahkamah untuk memaksa Anwar hadir di mahkamah.

Anwar disapina supaya memberi keterangan sebagai saksi kepada defendan dalam perbicaraan bagi tindakan saman berhubung kemudahan pinjaman tersindiket bernilai RM445 juta pada tahun 1997, yang ketika itu beliau menjadi Menteri Kewangan.

Pengerusi Hong Leong Bank Berhad (HLFB), Tan Sri Quek Leng Chan juga disapina untuk menjadi saksi kepada defendan. Defendan dalam kes ini ialah seorang ahli perniagaan, Low Thiam Hoe.

Pesuruhjaya Mahkamah Tinggi, Hadhariah Syed Ismail menetapkan 6 April sebagai tarikh mendengar permohonan Leng Chan untuk mengenepikan sapina terhadapnya.

Pada tahun 1998, HLFB mengemukakan saman terhadap Low kerana kegagalannya membayar balik pinjaman bernilai RM28 juta yang diperolehinya daripada bank itu.

Pada 1999, Thiam Hoe mengemukakan saman balas terhadap HLFB, HLG Capital Markets Sdn. Bhd. dan Seow Lun Hoo, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Credit Berhad, dengan menuntut ganti rugi am di atas nasihat salah dan cuai yang diberikan kepadanya. - BERNAMA

Yakinkan negara maju kaji sekatan terhadap Myanmar

NAYPYITAW, Myanmar, RABU, 29 Mac, 2012: Malaysia, yang menyokong proses pembaharuan yang berlaku Myanmar, akan cuba menyakinkan negara-negara maju agar mengkaji semula sekatan yang dikenakan terhadap negara tersebut.

Jaminan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertemu Presiden U Thein Sein sempena lawatan rasmi dua harinya ke Myanmar yang berakhir hari ini.

"Kalau tidak dapat dihapuskan sama sekali tapi perlulah dikaji dan dikurangkan secara beransur-ansur,” kata Najib kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatannya di sini.

Najib berkata, beliau dan pemimpin Myanmar itu telah berbincang mengenai pembaharuan yang berlaku di negara tersebut yang disifatkan Thein Sein sebagai “mustahil untuk kembali kepada keadaan sebelum ini”.

Katanya, Malaysia berkeyakinan dengan perubahan yang berlaku dengan Myanmar “baru” dan ia kini berada dalam transisi kepada menjadi lebih terbuka, lebih demokratik dan progresif.

Beliau berkata respons komuniti antarabangsa sepatutnya mencerminkan penerimaan dan pengiktirafan mereka terhadap proses pendemokrasian yang berlaku di Myanmar.

Najib berkata, antara perkembangan penting dalam pembaharuan yang cuba dilaksanakan Myanmar ialah pilihan raya kecil pada Ahad ini.

"Jika ia (pilihan raya) berlaku secara adil, ia akan menyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa pembaharuan yang berlaku adalah sesuatu yang akan berjalan berterusan,” katanya. - BERNAMA

KDN haramkan tiga buku ajaran Syiah dari Indonesia

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mac, 2012: Tiga buah buku iaitu “Pengantar Ilmu-Ilmu Islam”, “Dialog Sunnah Syi’ah” dan “Tafsir Sufi Al-Fatihah” terbitan Indonesia yang menyebarkan fahaman Syiah diharamkan penjualannya kerana bertentangan dengan pegangan umat Islam negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku tulisan Murtadha Muthahhari, A Syarafuddin Al-Musawi dan Jalaludin Rakhmat itu, awal bulan ini.

Beliau berkata, buku-buku itu akan dibawa kepada Seksyen Kawalan Media Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dirujuk ke mesyuarat jawatankuasa berkaitan sebelum diserahkan kepada KDN untuk diwartakan.

"Kerajaan serius membendung penyebaran ajaran Syiah yang mana pada tahun lepas pihak berkuasa turut memberkas empat pengikut ajaran itu yang menganjurkan sambutan hari lahir Fatimah al-Zahra,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius berhubung penyebaran ajaran berkenaan di mana pada 25 Ogos tahun lepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah merampas 35,000 buku dan risalah mengenainya yang diharamkan KDN setelah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, yang dipercayai menjadi markas penganut fahaman itu. - BERNAMA

Thursday 29 March 2012

Tajaan jersi QPR sebahagian pelan perniagaan MAS - PM

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mac, 2012: Penajaan jersi Queens Park Rangers (QPR) oleh Malaysia Airlines (MAS) adalah sebahagian daripada pelan perniagaan untuk mempromosi dan mengukuhkan MAS sebagai syarikat penerbangan premium pilihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif tersebut merupakan platform publisiti yang baik kerana penyiaran di dalam lebih daripada 380 perlawanan Barclays Premier League setiap musim akan mempromosi MAS secara lebih meluas, dengan anggaran 3.51 juta orang penonton di serata dunia.

"Selain itu, penajaan ini juga merupakan inisiatif penjenamaan semula MAS bagi meningkatkan hasil syarikat,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan, dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Choo Keong ingin mengetahui sama ada keputusan dilakukan sewenang-wenangnya untuk menaja jersi QPR sebanyak RM18 juta, beliau juga ingin mengetahui mengenai pembatalan laluan oleh Firefly dan diambil alih oleh MAS.

Mengulas pengambilalihan perkhidmatan operasi jet Firefly oleh MAS, Najib berkata ia merupakan sebahagian daripada rancangan pemisahan perkhidmatan di bawah penyusunan semula perniagaan.

"Pelaksanaan penyusunan semula perniagaan adalah bagi menangani isu kerugian berterusan yang ditanggung oleh operasi jet Firefly.

"Program ini dilaksanakan atas dasar sektor-sektor dan semua operasi jet Firefly telah diserap ke dalam operasi MAS mulai Disember 2011,” katanya.

Menurutnya, Firefly akan meneruskan perkhidmatan operasi turboprop daripada Lapangan Terbang Subang dan Pulau Pinang dan meningkatkan kapasiti dan kekerapan perkhidmatan di laluan sedia ada.

"MAS kekal komited dalam mengendali dan menyediakan perkhidmatan terus ke Kota Kinabalu dan Kuching, manakala perkhidmatan bagi lain-lain laluan di Sabah dan Sarawak disediakan MASWings Sdn Bhd, syarikat milik penuh MAS,” katanya. - BERNAMA

Dadah: Dua wanita Myanmar antara empat dihukum gantung

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Dua wanita Myanmar dan dua warga tempatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah terhadap pertuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha dalam penghakimannya di akhir kes pembelaan berkata, kesemua tertuduh telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

"Pembelaan mereka tidak logik dan sukar dipercayai, lagipun tiada alasan untuk tidak mempercayai kredibiliti saksi-saksi pendakwaan terutamanya anggota dan pegawai polis yang memberi keterangan dalam kes ini,” jelas Ghazali.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan Ambiya Mohamad, 40; Arafah Abu, 30; Lim Siau Seng, 32 dan K. Vigneswaran, 27, menitiskan air mata dan memeluk ahli keluarga masing-masing yang cuba menenangkan mereka.

Mereka didakwa mengedar dadah seberat 212 gram, terdiri daripada 162.3 gram heroin dan 50.3 gram monoacetylmorphines.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di kawasan letak kereta, Jalan Manis 6, hadapan Maybank, Taman Segar, Cheras, lebih kurang 6.05 petang pada 3 April 2009.

Peguam Datuk P.M. Nagarajan mewakili Ambiya dan Arafah, sementara peguam Rajpal Singh mewakili Lim dan Vigneswaran. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib. - BERNAMA

Sukar untuk ramal keputusan pilihan raya: Dr Mahathir

PUTRAJAYA, KHAMIS, 29 Mac, 201: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, agar sukar untuk meramal keputusan pilihan raya umum akan datang kerana keadaan "agak mengelirukan". 

Beliau berkata, pelbagai andaian dibuat mengenai sokongan kepada Barisan Nasional, dengan ada yang mengatakan ia meningkat dan ada yang berpendapat sebaliknya.

"Apa yang pasti bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini. Pembangkang sekarang bukan seperti dulu, keadaan sekarang agak mengelirukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan menang mudah di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang. 

Mengenai kemungkinan sukar bagi BN mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai antara penyebab mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belum mahu mengadakan pilihan raya umum ke-13, Dr Mahathir berkata, beliau tidak boleh hendak membaca apa yang ada dalam fikiran Najib. 

"Kemungkinan perkara itu ada benarnya dan tidak," katanya. - BERNAMA

Negara ambil masa untuk maju jika rakyat tiada nilai murni

BANGI, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Negara akan mengambil masa yang panjang untuk mencapai status negara maju jika rakyat tidak berpegang kepada nilai-nilai murni, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Katanya, beliau yakin negara akan dapat mencapai matlamat yang diinginkan termasuk Wawasan 2020 jika rakyat mempunyai sikap amanah, bekerja dengan baik dan sedar akan tanggungjawab mereka kepada negara.

"Jika kita berbuat demikian, hari ini kita sudah menjadi negara maju tetapi kita dapati sebahagian daripada rakyat Malaysia tidak belajar menguasai ilmu.
"Apabila bekerja, bekerja mengikut pendapatan yang diterima sahaja, tidak mengikut kepuasan hati, yang kadangkala tidak ada di Malaysia. 

"Sebaliknya, jika kita seperti orang Jepun yang berusaha untuk memulihkan negara yang hancur kerana perang, bekerja dengan cukup baik, dalam jangka masa pendek sahaja mereka dapat memulihkan negara mereka sepenuhnya sehingga menjadi negara kedua termaju di dunia," katanya. 

Dr Mahathir berkata demikian pada sesi soal jawab bersama pelajar Permata Pintar, sempena program Bual Bicara bersama beliau di Kompleks Permata Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini. 

Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. - BERNAMA