My Add

Friday, 17 January 2014

11.4 juta rakyat Malaysia bekerja 2010

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Januari, 2014: Jumlah penduduk Malaysia yang bekerja berdasarkan banci penduduk dan perumahan 2010 (Banci 2010) ialah 11.4 juta berbanding 8.1 juta pada banci 2000, berlaku peningkatan sebanyak 40.9 peratus.

Bancian itu dijalankan bagi tempoh 10 tahun bermula tahun 2000 dengan mengambil kira profail umur rakyat Malaysia dari 15 tahun sehingga 64 tahun.

Menurut Laporan Ciri-Ciri Ekonomi Penduduk 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan penduduk lelaki yang bekerja telah menyusut sebanyak 4.2 peratus daripada 66.6 peratus pada 2000 kepada 62.3 peratus pada 2010.

Sebaliknya, peratusan penduduk perempuan yang bekerja telah meningkat daripada 33.5 peratus pada 2000 kepada 37.7 peratus pada 2010.

"Senario ini telah menunjukkan bahawa penglibatan golongan wanita di pasaran buruh semakin meningkat dalam tempoh sedekad,'' jelas laporan itu.

Laporan ciri-ciri ekonomi penduduk 2010 ini merupakan laporan keenam yang dikeluarkan dalam siri Laporan Banci 2010.

Laporan tersebut mengandungi data penduduk yang bekerja berumur 15 tahun sehingga 64 tahun mengikut pekerjaan dan industri serta taraf pekerjaan mereka.

Tambah laporan tersebut, penduduk bekerja di kawasan bandar pula telah meningkat daripada 66.6 peratus kepada 74.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kaji selidik yang dijalankan itu.

Hal ini seiring dengan peningkatan penduduk bandar kepada 71 peratus pada 2010 berbanding 62 peratus pada tahun 2000.

Bagi tempoh yang sama, peratusan penduduk bekerja di kawasan bandar bagi semua negeri juga telah meningkat.

Negeri Kedah mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 24.2 peratus diikuti Melaka (17.8 peratus) dan Perlis (15.2 peratus).

Bumiputera kekal mendominasi guna tenaga di Malaysia dengan peratusan 63.1 peratus, diikuti Cina (28.4 peratus) dan India sebanyak 7.8 peratus.

Trend ini berlaku disebabkan purata kadar pertumbuhan tahunan bumiputera adalah lebih tinggi berbanding kumpulan etnik lain di Malaysia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment