My Add

Wednesday, 1 January 2014

15 dulang barang kemas lesap

Oleh NORHIDAYU MOHD HASSAN

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Disember, 2013: Empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan 15 dulang emas dipercayai bernilai ratusan ribu ringgit di sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Balakong, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, seorang suspek bersenjatakan pistol meluru masuk dan melepaskan satu das tembakan amaran ke arah siling kedai tersebut yang baru dibuka untuk beroperasi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, suspek dan dua rakannya kemudian mengarahkan dua pekerja di situ supaya berlutut lalu terus memecahkan cermin pameran dan mengambil barang kemas.

"Ketika itu juga, seorang lagi suspek muncul dan melepaskan satu lagi das tembakan di depan kedai berkenaan sebelum kesemua mereka melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal," katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah Abdul Ghani, kesemua mereka memakai topi keledar bertutup penuh bersama jaket.

"Pekerja kedai memaklumkan, ketika dua suspek sedang memecahkan cermin, mereka terdengar dua lagi das tembakan dilepaskan di dalam kedai namun pemeriksaan kita hanya menemui tiga kelongsong peluru.

"Kejadian itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis tersebut dan kita sedang meneliti untuk membantu siasatan," katanya.

Mengulas kes samun sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Sungai Chua pada Jumaat lalu, Abdul Ghani berkata, pihaknya percaya kegiatan jenayah itu dilakukan oleh dua kumpulan berbeza meskipun jumlah anggota sama.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh membawa hukuman mati kerana kesalahan melepaskan tembakan ketika samun," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment