My Add

Tuesday, 14 January 2014

Cuba lerai pergaduhan, anggota polis cedera dipukul

MAZLAN KESAH
PULAU PINANG, ISNIN, 13 Januari, 2014: Seorang anggota polis cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki yang dipercayai mabuk sewaktu cuba meleraikan pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di Bukit Tambun, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa yang berpangkat Sarjan dipukul menggunakan kayu dan topi keledar oleh kumpulan terbabit yang menyangka mangsa adalah salah seorang rakan kepada lelaki yang terlibat dalam pergaduhan dengan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, kejadian bermula selepas pihak polis mendapat maklumat berlaku pergaduhan melibatkan sekumpulan 30 lelaki India dengan seorang lelaki Cina.

"Empat anggota polis yang datang kemudiannya diserang anggota kumpulan terbabit kerana menyangka mereka rakan mangsa mengakibatkan salah seorang sarjan yang berusia 33 tahun cedera di muka dan beberapa bahagian badan.

"Empat daripada ahli kumpulan itu yang berusia antara 18 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan polis masih mengesan rakan-rakan mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Tambah Mazlan, anggota polis itu kini dirawat di Hospital Sungai Bakap dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan akan direman hari ini bagi membantu siasatan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment