My Add

Monday, 6 January 2014

DAP diminta jangan jadikan agama modal politik

KOTA BHARU, AHAD, 05 Januari, 2013: Minda Pondok Kelantan mengingatkan pemimpin DAP supaya berhenti daripada menyentuh perkara yang melibatkan agama Islam kerana tindakan itu boleh menimbulkan ketegangan di negara ini.

Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, mereka boleh cadang untuk pindaan perlembagaan tetapi apabila menyentuh soal berkaitan agama Islam, tindakan itu dianggap sudah melampau.

"Orang Islam tidak pernah menyentuh atau mengganggu-gugat kedudukan bukan Islam malah sentiasa menghormati kedudukan agama mereka," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas cadangan tiga ahli Dewan Undangan Negeri DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988.

Cadangan itu dibuat berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 351 Bible bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia, Jalan Gasing, Petaling Jaya baru-baru ini.

Mohd. Syamsul berkata, cadangan itu merupakan manifestasi rasa tidak puas hati berkaitan penggunaan kalimah Allah yang menjadi tuntutan mereka selama ini.

Katanya, umat Islam tidak teragak-agak melakukan bantahan dengan apa jua bentuk demi menjaga kehormatan agama Islam sekiranya DAP terus menunjukkan sikap 'keras kepala'.

"Negara ini akan berhadapan dengan gerakan Kristianisasi terbesar jika tidak ada kaedah atau peraturan tertentu bagi menyekat penyebaran agama bukan Islam terutama terhadap umat Islam sendiri.

"Umat Islam seharusnya menyedari kerakusan DAP yang dilihat semakin berani menyentuh soal kedudukan agama Islam dalam politik mereka sejak kebelakangan ini.

"Kita mesti tentang usaha mengganggu-gugat kedudukan agama Islam kerana kesucian agama Islam tidak boleh diperkotak-katikkan," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment