My Add

Wednesday, 8 January 2014

DAP tidak hormat raja - Mufti Pahang

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB dan MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

KUALA LUMPUR, SELASA, 07 Januari, 2014: Cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Selangor 1988 jelas satu perbuatan yang tidak menghormati kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, sebarang enakmen berkaitan Islam yang dikuatkuasakan hari ini diluluskan dengan perkenan Raja-raja Melayu dan oleh itu, tidak ada sebab mengapa perlu ada cadangan daripada bukan Islam untuk memindanya.

"Jika orang Islam sendiri tidak pernah sesekali berani untuk campur tangan terhadap sebarang undang-undang Islam yang telah diluluskan, inikan pula oleh bukan Islam. Sehubungan itu, jangan mencampuri hal-hal berkaitan agama Islam. Ini negara Islam. Mereka sepatutnya akur dengan perkara itu.

"Jika di negara yang agama rasminya Buddha atau Kristian sekalipun, penganut lain tidak mencampuri hal-hal berkaitan agama mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, mereka ini seolah-olah tidak faham kandungan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan dengan jelas Islam sebagai agama Persekutuan.

"Sehubungan itu, umat Islam kena tegas, bila sebut sahaja tentang Islam kita kena pertahankan. Jangan biarkan orang di luar sana mempermainkan agama kita.

"Cadangan ini mungkin mempunyai agenda tersendiri yang kita tidak tahu. Justeru, umat Islam diseru supaya berhati-hati dan terus mempertahankan agama kita," katanya.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin berkata, perbuatan tiga wakil rakyat DAP tersebut adalah serius dan seharusnya diambil tindakan pantas oleh pihak berwajib.

"Cadangan dibuat oleh ketiga-tiga wakil rakyat terbabit boleh mengganggu pegangan akidah umat Islam negara ini dan harus ditentang semua pihak.

"Saya berharap cadangan tersebut tidak mendapat sokongan bagi memastikan syiar Islam terus kukuh di negara ini," katanya.

Tahrir berkata, masyarakat Islam negara ini boleh berkompromi dari segi kehidupan masyarakat berbilang kaum dan hidup bertoleransi antara agama tetapi tidak apabila bukan Islam menyentuh hal ehwal akidah dan ibadah umat Islam.

"Ini kami tentang habis-habisan," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment