My Add

Wednesday, 1 January 2014

Kaji SOP termasuk sistem amaran awal banjir

KUANTAN, SELASA, 31 Disember, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengkaji beberapa prosedur operasi standard (SOP) termasuk menggunakan sistem amaran awal banjir bagi memastikan maklumat berkaitan bencana itu dapat disebarkan kepada umum dengan lebih berkesan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana negara yang akan dipengerusikan beliau pada Jumaat dengan melibatkan wakil-wakil dari negeri selain agensi berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut beliau, langkah itu dibuat berdasarkan pengalaman berlaku di Kemaman, Terengganu dan daerah ini yang dilanda banjir teruk sehingga jumlah mangsa meningkat di pusat-pusat pemindahan.

"Kita akan melakukan koordinasi secara lebih berkesan termasuk mengambil kira sistem amaran awal. Mungkin ada satu teknologi terkini yang boleh kita gunakan untuk meramal lebih tepat tentang bencana itu.

"Sebagai contoh, dalam seminggu akan datang apakah bentuk hujan dan persiapan boleh dibuat dengan lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan persekolahan sumbangan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan harus melihat kepada satu SOP baharu lebih kemas dan terancang dalam menghadapi sesuatu bencana yang luar biasa berlaku di negeri terbabit.

"Umpamanya kalau banjir berlaku kali kedua perlu kena pakai SOP kedua supaya mampu mengatasi masalah lebih serius," katanya.

Katanya, beberapa perkara akan dikaji termasuk memperhalusi kemudahan di pusat pemindahan supaya dilengkapi dengan tempat memasak dan jumlah tandas mencukupi untuk menampung jumlah mangsa di situ.

"Langkah kedua pula adalah mengkaji pusat penempatan stok bekalan bahan dan logistik yang perlu diangkut sama ada menggunakan jalan darat atau udara ke pusat pemindahan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment