My Add

Tuesday, 14 January 2014

Kesucian Islam dipertahankan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI


KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kerajaan akan terus komited mempertahankan kesucian agama Islam daripada dicemari dan diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara Islam yang meletakkan Maqasid Syariah sebagai paksi pentadbiran negara, kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan menobatkan syiar dan syariat Islam sebagai acuan pemerintahan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Menurut beliau, kejayaan Malaysia dalam usaha mengembangkan Islam dan mengamalkan demokrasi mendapat pengiktirafan pemimpin-pemimpin dunia, termasuk daripada pemimpin Turki yang melawat Malaysia baru-baru ini.

"Saya menyeru kepada rakyat, keharmonian dan kesefahaman antara agama yang telah lama kita bina bersama harus dikekalkan. Yakinlah bahawa sikap persefahaman dan toleransi adalah tunjang kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara kita," katanya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1435H di sini hari ini.

Memetik firman Allah S.W.T dalam surah al-Kahfi ayat 6, Najib berkata, al-Quran telah merakamkan betapa kerisauan, kesungguhan dan gelora kasih sayang baginda Rasulullah SAW untuk melihat setiap umat manusia dapat bernaung di bawah rahmat keimanan dan agama Islam yang suci.

"Makanya, rahmat iman dan Islam yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW ini, perlulah diteruskan dan disebarkan," kata beliau.

Najib juga mengajak seluruh rakyat supaya mengamalkan pendekatan sederhana bagi memastikan keharmonian dan perpaduan yang terbina selama ini terus kekal sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul kali ini iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

"Hakikatnya, wasatiyyah berpaksikan keadilan sosial, keunggulan atau kecemerlangan dan keseimbangan serta kesederhanaan. Wasatiyyah bukanlah bererti mundur, ambil mudah dan pendekatan ekstrem yang boleh menggugat kestabilan politik, sosial dan ekonomi kepada sesebuah negara.

"Justeru, wasatiyyah adalah tonggak kepada segalanya, yang merupakan penentu kemakmuran, keharmonian dan kesatuan sesebuah bangsa atau ummah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment