My Add

Saturday, 4 January 2014

Kok Ping tidak terlibat

PULAU PINANG, JUMAAT, 03 Januari, 2013: Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait menyifatkan dakwaan kerajaan negeri mendapat potongan harga sebanyak RM100,000 daripada ahli perniagaan, Tan Sri Tan Kok Ping bagi pembelian kereta jenis Mercedes-Benz S300L sebagai fitnah dan tuduhan tidak berasas.

Menurut beliau, diskaun itu ditawarkan oleh pembekal kenderaan jenis Mercedes di seluruh negara dan boleh dinikmati mana-mana pihak yang berminat membeli kenderaan tersebut.

Dalam masa sama, tambahnya, pembelian Mercedes-Benz S300L sebagai kenderaan rasmi Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga dibuat selepas mendapat pengecualian cukai dan diskaun sebanyak 56 peratus.

"Ketua Menteri Pulau Pinang memang layak menggunakan dua buah kereta Mercedes-Benz S400 dan Mercedes Benz S300.

"Beliau kini menggunakan sebuah kereta sahaja iaitu Mercedes-Benz S300L dengan harga RM298,263.75 berbanding harga asal RM657,218," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kontroversi pembelian Mercedes-Benz S300L yang diluluskan kerajaan negeri sebagai kenderaan rasmi Guan Eng yang mendapat kritikan banyak pihak kerana disifatkan bermewah-mewah serta merupakan pembaziran.

Pembelian itu juga menimbulkan persoalan memandangkan dibuat dalam tempoh hanya kira-kira tiga bulan selepas kerajaan negeri membeli kereta jenis Toyota Camry 2.5 sebagai kenderaan rasmi Guan Eng.

Dalam masa sama, kelulusan yang dibuat kerajaan negeri itu bertentangan dengan sikap Guan Eng sendiri yang sering menonjolkan diri sebagai pemimpin berjiwa rakyat termasuk pernah mengkritik kerajaan negeri Terengganu berhubung perkara sama pada 2008.

Sementara itu, Mokhtar berkata, keputusan membeli kereta jenis Mercedes dibuat mengambil kira faktor ekonomi jangka masa panjang yang mana kenderaan tersebut tidak membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment