![]() |
* ABDULLAH Ahmad Badawi (dua dari kiri) bersama Mohamad Hasan (dua dari kanan) melihat kitab terbitan Kolej Islam As-Sofa sambil diperhatikan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin As Sanusi (kanan) di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan di Seremban, semalam. - UTUSAN/ABD RAZAK AID |
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, umat Islam hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang rumit hingga ada di antara mereka yang mudah terjebak dalam kesesatan.
Beliau yang juga Penasihat Kehormat Yayasan Sofa Negeri Sembilan berkata, sebagai contoh ialah fahaman Syiah yang semakin berleluasa dan hangat diperkatakan oleh masyarakat hari ini.
"Oleh itu, pemikiran yang betul dalam kalangan umat Islam merupakan elemen yang sangat dituntut kerana mereka adalah tunjang dalam pembentukan sosiobudaya negara ini.
"Ia dapat dicapai dengan mengukuhkan pegangan terhadap fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Pendidikan dan Dakwah Antarabangsa bertajuk Pemerkasaan Pendidikan dan Dakwah Melalui Manhaj Sanusi di sini hari ini.
Seminar anjuran Kolej Islam As Sofa dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan serta Kumpulan Pendidikan Sofa itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Akidah kerajaan negeri, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin As Sanusi yang juga Pengerusi Yayasan Sofa.
Seminar itu bertujuan memperlihatkan manhaj Sanusi dalam kaedah dakwah dan pendidikan yang berjaya dalam pelbagai aspek pada hari ini.
Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan dalam seminar itu bertajuk Manhaj dan Teori Pendidikan dan Pentarbiahan Imam Sayyid Ahmad Al Syarif Al Sanusi oleh Pengarah Akademik Kolej Islam As Sofa, Salahuddin Azarai.
Sementara Pengarah Majlis Tertinggi Tasauf Libya, Syeikh Adel Muhammad Muhktar membentangkan kertas kerja bertajuk Sepintas Lalu Dari Kehidupan Al Imam Sayyid Muhammad ibn Ali As Sanusi manakala Penyelidik Institut Raja Idris As Sanusi, Syeikh Yusuf Abdul Hadi Muhammad Al Ahboush membentangkan kertas kerja bertajuk Dakwah As Sanusi Mengembalikan Kegemilangan Ummah.
Dalam majlis itu, Mohamad turut melancarkan tiga kitab terbitan Kolej Islam As Sofa iaitu al-Quran, Sahih Bukhari dan Muwatta'.
Sementara itu, Syeikh Muhammad Fuad berkata, manhaj Sanusi merujuk kepada kaedah dakwah yang dipelopori oleh Imam Sayyid al Mujaddid Muhammad ibn Ali As Sanusi yang dilahirkan di Algeria pada 1787.
"Pengajaran penting yang paling ketara dalam kaedah ini ialah ia tidak menjadikan sesama umat Islam sebagai musuh yang perlu diperangi," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment