My Add

Wednesday, 8 January 2014

Protes di tujuh kawasan utama di sini pada 13 Januari ini.

 * PENUNJUK perasaan antikerajaan menyertai perhimpunan di tengah kota Bangkok, semalam. - REUTERS
BANGKOK, SELAS, 07 Januari, 2014: Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan Thailand yang mewakili Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) akan meneruskan bantahan 'Melumpuhkan Bangkok' di tujuh kawasan utama di sini pada 13 Januari ini.

Ketua PDRC, Suthep Thaugsuban berkata, penunjuk perasaan akan berkumpul di Rajdamnoen Avenue pada hari tersebut, sebelum berpecah menuju ke tujuh lokasi di ibu negara ini untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas mereka bertujuan untuk melumpuhkan operasi kerajaan.

Thaugsuban turut memberi jaminan, bantahan tidak akan diadakan di terminal pengangkutan dan lapangan terbang Suvarnabhumi, dan semua pengangkutan awam boleh beroperasi seperti biasa.

Jelasnya, satu daripada lokasi yang menjadi tumpuan bantahan adalah di Kompleks Kerajaan di Jalan Chaeng Wattana, di mana laluan ke bangunan terbabit akan dihalang.

"Lokasi bantahan turut diadakan di persimpangan Lat Phrao, Pathumwan, Ratchaprasong dan Asoke; Monumen Victory dan Taman Lumpini," katanya.

Dalam perkembangan hari ini, kira-kira 5,000 penunjuk perasaan berarak di Bangkok secara aman bagi menuntut pengunduran Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra, walaupun pilihan raya umum tetap akan dijalankan pada 2 Februari ini.

Sementara itu, Komander Tentera, Mejar Jeneral Wara Boonyasit menafikan dakwaan pihak tentera akan menggulingkan kerajaan Yingluck selepas sejumlah kereta kebal dan kenderaan berperisai dikerah ke jalan-jalan utama di Bangkok.

Boonyasit berkata, kerahan kelengkapan tentera itu merupakan sebahagian persiapan untuk sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan pada 11 Januari ini dan perarakan tentera sempena Hari Tentera Darat Thailand pada 18 Januari ini.

"Khabar angin yang mendakwa pihak tentera mahu menggulingkan kerajaan adalah tidak benar.

"Perarakan tentera telah dirancang sejak pertengahan tahun lalu, dan pada tahun ini kita akan mempamerkan kekuatan kenderaan tentera yang moden buat kali pertama," katanya. - UTUSANAGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment