My Add

Saturday, 4 January 2014

Tidak wajar dipertikaikan

Oleh H ELMI MOHD. FOAD
 
 
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Januari, 2013: Penguatkuasaan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 tidak wajar dipertikaikan kerana undang-undang tersebut sebenarnya merupakan terjemahan kepada peruntukan yang terkandung di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang (gambar) berkata, tujuan enakmen tersebut adalah untuk melaksanakan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan iaitu melarang pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam dan bukannya menggugat hak kebebasan beragama masyarakat bukan Islam di negara ini.

Justeru, beliau menegaskan, cadangan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang mahu enakmen tersebut dipinda tidak wajar disokong sama sekali terutama oleh wakil-wakil rakyat beragama Islam di negeri tersebut.

“Mengapa enakmen tersebut perlu dipinda sedangkan sumber undang-undang itu adalah daripada Perlembagaan Persekutuan sendiri.

“Subsekyen dalam Perkara 11(4) membenarkan mana-mana negeri untuk membuat undang-undang kawalan pengembangan kepercayaan agama bukan Islam kepada orang bukan Islam.

“Sepatutnya kita perlu mendesak agar negeri-negeri yang belum menggubal enakmen seumpama itu agar melakukannya, bukannya mencadangkan negeri yang sudah ada untuk membuat pindaan atau menghapuskannya," tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika mengulas laporan mengenai permintaan tiga ADUN DAP di Selangor agar enakmen tersebut dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga.

Laporan portal berita propembangkang The Malaysian Insider hari ini memetik kenyataan bersama Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing ) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) bahawa mereka akan mengemukakan cadangan pindaan itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) akan datang dengan memastikan umat Islam terjamin daripada sebarang usaha untuk dipengaruhi oleh agama bukan Islam.

Mereka yang terkejut dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Persatuan Bible Malaysia (BSM) semalam berkata, enakmen itu hanya bertujuan mengawal penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment