My Add

Monday 26 March 2012

3 juta pendeposit Tabung Haji masih tidak namakan waris

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Mac, 201: Kira-kira tiga juta daripada lebih tujuh juta pendeposit Tabung Haji masih tidak membuat penamaan waris.

Lembaga Tabung Haji dalam satu kenyataan, berkata keadaan itu boleh mendatangkan kesukaran kepada ahli keluarga untuk membuat tuntutan wang pusaka sekiranya pendeposit meninggal dunia.

"Tabung Haji sentiasa merujuk kepada borang penamaan waris sebelum meluluskan sebarang wang pusaka bagi kes-kes kematian pendepositnya.

"Oleh yang demikian, pengurusan Tabung Haji menyeru semua pendepositnya yang belum membuat sebarang penamaan waris agar bertindak segera membuat penamaan waris di mana-mana 119 cawangan Tabung Haji di seluruh negara," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, borang penamaan waris boleh didapati di semua pejabat cawangan Tabung Haji dan juga boleh dimuat turun dari laman web www.tabunghaji.gov.my.

"Bagi tujuan keselamatan dan proses memperakui kesahihan butiran pendeposit dan penamaan waris, borang tersebut perlu diserahkan oleh pendeposit sendiri di cawangan Tabung Haji berdekatan," kata kenyataan itu.

Tabung Haji turut menyarankan supaya pendeposit yang telah membuat penamaan waris supaya menyemak dan mengemaskini penamaan waris mereka sekiranya terdapat perubahan dalam kehidupan seperti berkahwin, bercerai, kelahiran dan kematian dalam keluarga.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai saranan tersebut, para pendeposit boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di talian 03-62071919, faks 03-77284959 atau e-mel ke th@info.gov.my. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment