My Add

Sunday 4 March 2012

Bangunan baru JPAM Kedah siap Mei

ALOR SETAR, AHAD, 04 Mac, 2012: Projek pembinaan bangunan baru Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah di sini yang bernilai RM18.4 juta dijangka siap pada 17 Mei ini. 

Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling, berkata projek yang sepatutnya disiapkan Ogos tahun lalu, gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan berikutan beberapa masalah.

"Kita sudah berbincang dengan pihak kontraktor bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mereka (kontraktor) memberitahu antara masalah yang dihadapi ialah berlakunya banjir di kawasan ini pada hujung 2010.

"Yang kedua ialah dari segi pertukaran kepada sistem IBS (Industrialised Builiding System). Mereka perlu menyusun semula sesetengah keperluan dan perlu menggunakan sekurang-kurangnya 75 peratus sistem IBS dan Alhamdulillah perkara-perkara itu dapat diselesaikan. 

"Sekarang ini kita cuma nak teruskan projek ini dan kita harap ia dapat disempurnakan dengan baik oleh pihak kontraktor," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor dan mengadakan lawatan ke tapak bangunan baru di Anak Bukit di sini, hari ini. 

Katanya, buat sementara waktu ini, JPAM terpaksa menggunakan atau menyewa tempat-tempat lain untuk mengadakan latihan sukarewan JPAM khususnya di zon utara. 

"Jika projek ini siap, ia akan menempatkan bangunan pejabat, bangunan asrama dan tapak latihan," katanya. 
Mengikut perancangan awal, projek yang bermula pada Februari 2010 itu akan siap pada Ogos 2011 dan ia ditangguhkan sehingga 17 Mei 2012. 

Sulaiman berkata, jika diikutkan jadual, sepatutnya bangunan ini sudah siap 67 peratus, tapi sekarang baru 60 peratus disiapkan oleh pihak kontraktor. 

"Saya secara peribadi mengharapkan dengan pertemuan ini (antara pihak kontraktor, perunding dan JKR) kerja-kerja ini dapat disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan. Ini adalah untuk kebaikan semua pihak supaya sistem penyampaian kita dapat dilaksanakan dengan baik kepada rakyat," katanya. 

Beliau berkata, bangunan itu perlu disiapkan dengn segera kerana apabila ia siap, latihan-latihan untuk anggota sukarelawan JPAM dapat dijalankan dengan tersusun. 

Katanya, terdapat dua negeri yang masih dalam proses pembinaan bangunan JPAM iaitu di Kuantan, Pahang dan Kuching, Sarawak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment