My Add

Sunday 4 March 2012

Komitmen kerajaan tingkat sistem khidmat rawatan dialisis


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani plat pendidikan Pendermaan Organ di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. Turut kelihatan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (kanan). - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR, AHAD, 04 Mac, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan komited membantu pesakit buah pinggang melalui pemberian subsidi rawatan hemodialisis dan 'geran modal' untuk pembelian mesin hemodialisis. 

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM171.1 juta dalam bentuk subsidi rawatan hemodialisis kepada badan-badan bukan kerajaan dalam tempoh 10 tahun (2001-2010) dan 'geran modal' berjumlah RM20.15 juta kepada pusat dialisis bagi pembelian mesin hemodialisis baru dalam tempoh yang sama.

"Dianggarkan 23,390 pesakit sudah mendapat manfaat hasil daripada inisiatif kerajaan itu dan ini memaparkan kesungguhan tinggi dalam membantu pesakit-pesakit buah pinggang yang memerlukan," katanya ketika melancarkan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, dan Presiden Lembaga Pengarah Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, Datuk Dr Zaki Morad Mohamad Zaher. 

Muhyiddin berkata pemindahan organ juga boleh dilakukan selain dialisis untuk merawat pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang serta organ-organ lain. 

"Dianggarkan seramai 15,078 pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan organ dan sekitar 15,055 orang terdiri daripada pesakit buah pinggang. 

"Lain-lain pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ termasuklah 18 orang pesakit kegagalan fungsi hati dan lapan orang pesakit jantung dan paru-paru," katanya.

Sementara itu, Liow berpendapat kadar pendermaan organ di Malaysia masih rendah memandangkan hanya 0.6 peratus iaitu seramai 188,147 rakyat Malaysia saja yang menderma organ. 

"Sepanyol mencatat jumlah penderma organ tertinggi di dunia iaitu sebanyak 25 peratus daripada jutaan penduduk, manakala Singapura mencatat jumlah lima peratus daripada jutaan penduduk di negara itu. 

Oleh kerana itu, katanya, pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan organ sementara menjalankan rawatan dialisis. 

"Oleh itu, melalui kempen ini, diharap dapat menggalakkan orang ramai menyertai aktiviti kesihatan dan menggalakkan mereka supaya menderma organ," katanya pada sidang media sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment