My Add

Sunday 4 March 2012

Belum diputus sebarang model penjagaan kesihatan: Tiong Lai

PUTRAJAYA, AHAD, 04 Mac, 2012: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan belum memutuskan sebarang bentuk sistem penjagaan kesihatan kerana ia masih menilai pelbagai model termasuk mengkaji kemungkinan mengguna pakai sistem 1Care for 1Malaysia. 

"Sebenarnya kita belum membuat sebarang keputusan dan kerajaan tidak akan membuatnya secara tergesa-gesa," katanya dalam temuramah dengan BERNAMA.

Beliau berkata kerajaan masih melihat dan mengkaji pelbagai model termasuk model insurans kesihatan, model insurans kesihatan sosial, model percukaian dan lain-lain model hibrid termasuk menerusi penyertaan kerajaan-majikan-pekerja.

"Terdapat banyak model yang sedang dikaji, tetapi belum mencapai kata putus. Sebab itu kita turut membabitkan pihak yang berkepentingan untuk memberi pandangan mereka. 

"Adalah tidak benar ia sudah diputuskan. Kerajaan akan terus membabitkan orang awam dan pihak yang berkaitan mengenai sebelum membuat keputusan," katanya. 

Liow menjelaskan bahawa cadangan terhadap sistem 1Care for 1Malaysia adalah model hibrid yang sedang dikaji dan belum terdapat keputusan penerimaannya. 

"Sekiranya didapati tidak sesuai, ia tidak akan dilaksanakan. Oleh sebab itu kita telah membentuk kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dan memanggil pelbagai pihak untuk memastikan kesesuaian model berkenaan. Sesungguhnya ia masih di peringkat permulaan," katanya.

Namun, kata beliau sesetengah pihak menyalah lapor dan maklumat yang salah disebarkan sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai. 

Antara maklumat salah tersebut ialah keperluan rakyat membayar sehingga 9.5 peratus dari pendapatan bulanan mereka sebagai sumbangan insurans kesihatan sosial; pesakit hanya boleh berjumpa doktor sebanyak enam kali setahun; pesakit tidak mempunyai pilihan untuk bertemu doktor yang dikehendaki mereka; setiap orang mesti membayar; pihak berkuasa pembiayaan kesihatan (NHFA) akan menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sakit kronik tidak akan dibiayai termasuk penjagaan kesihatan yang mahal. 

Liow menjelaskan pembayaran 9.5 peratus tersebut hanya anggaran tentang jumlah purata isi rumah yang memerlukan penjagaan kesihatan mereka. 

No comments:

Post a Comment