My Add

Sunday 4 March 2012

Permohonan pinjaman baiki rumah warga FELDA akan dilulus

BENTONG, AHAD, 4 Mac, 2012: Kesemua 10,700 permohonan pinjaman membaiki rumah peneroka FELDA akan diluluskan sebelum akhir tahun ini atau Ogos ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan. 

Beliau berkata, sebanyak 5,000 daripadanya akan diluluskan pada Jun, Julai dan Ogos, manakala bakinya akan menyusul selepas penyenaraian Felda Global Ventures Hoding (FGVH) di Bursa Malaysia atau selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini.

“FELDA tidak akan mengenakan sebarang caj perkhidmatan atau faedah, sebaliknya peneroka hanya perlu membayar balik melalui potongan hasil ladang.
"Jika peminjam (peneroka) tersebut meninggal, tiada sebarang tuntutan bayaran dikenakan ke atas isteri atau keluarga terbabit kerana rumah tersebut telah diinsuranskan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah isu semasa kepada peneroka FELDA Mempaga 1,2 dan 3 di FELDA Mempaga 1, semalam. 

Katanya, tidak ada agensi di dunia seperti FELDA yang berjaya membangunkan tanah dan menempatkan 112,635 keluarga peneroka di 317 rancangan seluruh negara. 

Menurutnya dengan menghasilkan komoditi sawit dan getah yang banyak, FELDA membantu meningkatkan ekonomi negara. 

Katanya kejayaan FELDA membuka perladangan, menjadikan agensi itu antara yang terkaya memiliki pelbagai aset, dana dan tunai berbilion ringgit serta turut menjalankan pelbagai perniagaan di luar negara.

Menurutnya, penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia pertengahan tahun ini pula akan mengukuhkan lagi kewangan agensi itu sekaligus antara syarikat orang Melayu terkaya di pasaran saham. 

Penyenaraian FGVH turut memberikan pelbagai faedah dan manfaat bukan saja kepada peneroka, malah rakyat, kakitangan FELDA, pelabur, kerajaan-kerajaan negeri dan institusi serta syarikat pelaburan dalam dan sedikit di luar negara. 

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan mengkhianati amanah Allahyarham ayahandanya Tun Razak, malah transformasi FELDA yang dilakukan Perdana Menteri memberi banyak kebaikan kepada peneroka di mana mereka tidak boleh lagi bergantung kepada hasil ladang semata-mata," katanya. 

Katanya, anjakan paradigma dan perubahan yang dilakukan itu akan menjamin masa depan peneroka serta generasi akan datang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment