My Add

Friday 2 March 2012

Bicara kes Mat Sabu, Tian Chua, Gobalakrishnan 9 -11 Mei

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mac, 2012: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan tiga hari bermula 9 Mei, untuk perbicaraan kes Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan 15 yang lain, yang diperintah membela diri terhadap pertuduhan mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram, yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007. 

Hakim Datuk Jagjit Singh menetapkan tarikh itu apabila kes berkenaan disebut di hadapan beliau.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha memerintahkan Mohamad Sabu, Anggota Parlimen Batu Tian Chua, Anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan dan 13 orang yang lain, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh dan mengetepikan keputusan melepas dan membebaskan mereka sebelum ini.

Pada 19 November 2010, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan kesemua mereka daripada pertuduhan utama dan pilihan yang dihadapi mereka. 

Bagi pertuduhan utama, Mohamad Sabu, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang dan Gobalakrishnan didakwa terhadap pertuduhan utama dan pilihan iaitu menyertai perhimpunan haram dan mengingkari arahan polis untuk bersurai di beberapa tempat di sekitar ibu negara seperti Jalan Raja Laut, Jalan Istana Baru dan Jalan Tun Perak antara 1 petang hingga 4 petang, 10 November 2007. 

Turut sama didakwa bagi pertuduhan itu ialah Mohd Zad Abdullah, Mohd Salim Yeslam, Abdul Razali Abdul Rahman, Razali Abdul, Mohd Harith Fathillah, Saleh Mohd Tahir, Azahar Yusop, Sulaiman Ahmad, Taib Abdullah, Mohd Shafie Ismail, Mohd Nazreen Mohd Nasir, Mohd Abi Salam Ariffin dan Ishak Othman. 

Bagi pertuduhan utama, mereka didakwa mengikut Sesksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya. 

Pertuduhan pilihan pula mengikut Seskyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri manakala barisan pembelaan diketuai Mohamed Hanifa Maidin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment