My Add

Saturday 3 March 2012

Dr Mahathir saran Malaysia Airlines belajar daripada Airasia

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 MAC, 012: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Malaysia Airlines (MAS) supaya mengkaji langkah-langkah pengurangan kos dan struktur pengurusan AirAsia bagi membolehkannya kembali mencatat keuntungan. 

Kini adalah peluang terbaik untuk mengkaji dan melihat mengapa syarikat penerbangan nasional itu terjerumus ke dalam krisis fiskal sedangkan syarikat penerbangan tambang rendah itu dapat membuat keuntungan, kata bekas Perdana Menteri itu kepada Bernama.

"Perjanjian pertukaran antara Khazanah Nasional dan pemegang saham utama AirAsia akan menjalinkan mereka," katanya.

Pada Ogos tahun lalu, MAS dan AirAsia memeterai perjanjian kerjasama yang diperkukuh oleh Tune Air dan Khazanah - pemegang saham utama AirAsia dan MAS, masing-masing menukar saham mereka. 

Ini menyebabkan Tune Air memegang 20.5 peratus kepentingan ekuiti dalam MAS manakala Khazanah memiliki 10.0 peratus AirAsia, dan juga pengasas Tune Air dan pengasas bersama Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun menyertai lembaga MAS. 

"Memandangkan kedua-dua syarikat penerbangan ini beroperasi dari negara yang sama, tidak ada sebab bagi MAS gagal. Mereka perlu bekerjasama dengan AirAsia," katanya. 

"AirAsia meraih keuntungan yang banyak. Mereka membuat keuntungan walaupun tambang mereka sangat rendah. 
"Jadi ada sesuatu yang MAS boleh pelajari daripada AirAsia dari segi pengurusan, mengurangkan kos dan oleh itu, mendapat keuntungan," kata beliau. 

MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.52 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011, terbesar dalam sejarah korporatnya, berdasarkan hasil sebanyak RM13.9 bilion. 

Sementara itu, AirAsia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM564.1 juta daripada hasil berjumlah RM4.47 bilion. 

Semasa ditanya sama ada Khazanah perlu melepaskan sahamnya dalam MAS jika krisis berterusan, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak akan dapat bercakap mengenainya." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment