KUALA LUMPUR, 01 Mac, 2012: ASEAN perlu mempersiapkan diri dan mengharungi gelombang media baru serta memanfaatkan populariti rangkaian sosial itu bagi menjadikannya relevan sebagai penyebar maklumat, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata, negara anggota Asean perlu menyusun semula strategi dan pendekatan agar mereka boleh menyampaikan mesej Asean kepada rakyat terutama generasi muda.
"Peranan media itu sendiri dan kaedah penyebaran maklumat telah berubah dengan pesat. Sekiranya kita tidak mengkaji semula peranan kita sebagai Menteri Penerangan, kita boleh menjadi tidak relevan dan menjejaskan proses pembangunan masyarakat Asean,” katanya dalam kenyataan pembukaan pada Persidangan Menteri-menteri Asean Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) Ke-11 di sini hari ini.
Rais berkata negara ASEAN perlu sedar bahawa sementara media baru atau media sosial membuka ruang untuk kerajaan berinterkasi dengan rakyat, kerajaan perlu juga bekerjasama dan berkolaborasi untuk menghalang penyebaran maklumat salah di rangkaian media sosial. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment