Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mahu mewujudkan 85 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara sehingga akhir tahun ini berikutan kemajuan yang dicapai.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini sebanyak 31 buah KR1M termasuk dua di Kelantan, mampu mencatat purata jualan harian sebanyak RM310,000.
Menurutnya, KR1M Pekan, Pahang adalah KR1M paling aktif dengan hasil jualan sebanyak RM28,000 sehari, diikuti KR1M Tok Bali dekat sini, yang baru beroperasi 21 Februari lalu dengan jualan sebanyak RM20,000 sehari.
Beliau berkata, penubuhan KR1M adalah sebahagian daripada pembelaan kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
"KR1M ini adalah sebahagian daripada transformasi kerajaan membela kebajikan rakyat seperti bantuan persekolahan RM100 kepada semua murid sekolah, baucer buku RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Termasuk juga projek KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan KR1M Tok Bali, dekat sini hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment