My Add

Tuesday 27 March 2012

Lawatan sulung Najib ke Myanmar esok

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Mac, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Myanmar bermula esok ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala. 

Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke Myanmar sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada April 2009.

Najib akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta beberapa orang menteri dan timbalan menteri, demikian menurut satu kenyataan Wisma Putra, hari ini.

Malaysia dan Myanmar menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 dan mempunyai hubungan persahabatan dan jalinan kerjasama yang rapat dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama teknikal, pembangunan modal insan, perbankan dan kewangan, pertahanan, pelancongan, perladangan, sukan dan penerokaan hidrokarbon. 

Perdagangan dua hala bagi 2011 berjumlah RM2.43 bilion, meningkat sebanyak 26.8 peratus berbanding 2010. 

"Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Myanmar ini dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan kepada syarikat Malaysia dan Myanmar," demikian menurut kenyataan itu. 

Najib akan disambut dalam acara rasmi di pusat pentadbiran kerajaan Myanmar di Naypyitaw. 

Beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Thein Sein serta mengetuai mesyuarat delegasi bagi membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala, serantau serta antarabangsa yang berkepentingan kepada Malaysia dan Myanmar. 

Pada sebelah malam, Najib dan isteri akan diraikan oleh Thein Sein dan isteri Khin Khin Win dalam satu majlis jamuan negara di Istana Presiden. 

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan Malaysia ke Myanmar pada Khamis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment