My Add

Monday 26 March 2012

Komitmen Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear dipenuhi


TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) ketika sidang akhbar sempena menghadiri Sidang Kemuncak Nuklear di Seoul, Korea Selatan selama dua hari bermula hari ini. Turut hadir Duta Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Ramlan Ibrahim (dua dari kanan) dan beberapa delegasi negara. - Foto BERNAMA

SEOUL: Malaysia berjaya memenuhi komitmen yang dibuatnya pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington pada 2010 termasuk mengukuhkan rangka kerja perundangan yang berkaitan. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berada Korea Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Nuklear selama dua hari bermula hari ini, berkata kerajaan sedang di peringkat akhir meminda Akta Pelesenan Tenaga Atom untuk menjadikannya satu undang nuklear yang menyeluruh.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa berusaha mengukuhkan bentuk kawalan eksport global, dan dalam hal ini, Akta Perdagangan Strategik (STA) dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2011.

"Undang-undang ini membolehkan Malaysia menyumbang kepada usaha global bagi membendung kegiatan menghasilkan senjata kemusnahan besar-besaran," katanya. 

Ia membolehkan Malaysia menerima pakai Konvensyen Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear (CPPNM), Konvensyen Antarabangsa Bagi Membanteras Kegiatan Keganasan Nuklear (ICSANT) dan Protokol Tambahan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta pelbagai peraturan yang ditetapkan oleh IAEA. 

Muhyiddin berkata, Malaysia bersetuju menerima pakai Kenyataan Prinsip Bagi Inisiatif Global Membanteras Keganasan Nuklear (GICNT). 

Dalam usaha membendung penyeludupan pula, Malaysia melaksanakan Inisiatif Keselamatan Kontena (CSI) dan Inisiatif Pelabuhan Mega selain menyokong peraturan IAEA mengenai Keselamatan Sumber Radioaktif dan Garis Panduan Mengimport dan Mengeksport Bahan Radioaktif. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia terus bekerjasama dengan IAEA dan negara lain, sama ada secara dua hala atau di peringkat serantau, bagi meningkatkan latihan dan kesedaran serta kemampuan, sama ada untuk rakyat Malaysia mahupun dari negara lain. 

“Malaysia sudah menganjur pelbagai program antarabangsa, serantau dan dua hala berkaitan keselamatan nuklear. Pusat Sokongan Keselamatan Nuklear di Malaysia yang diiktiraf oleh IAEA berfungsi sebagai sebuah pusat latihan serantau,” katanya. 

Pada masa sama, Malaysia mendapat manfaat daripada kerjasamanya dengan negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan Jerman serta juga Suruhanjaya Eropah. 

Muhyiddin berkata, Malaysia sedang menuju ke arah meluaskan penggunaan teknologi nuklear secara aman bagi penjanaan tenaga elektrik. 

"Malaysia mahu memastikan penggunaan teknologi nuklear secara selamat, terjamin dan aman," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment