KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu serta Anggota Parlimen Batu, Tian Chua dan Anggota Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan dan 13 orang yang lain hari ini diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membela diri terhadap pertuduhan mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram di sini pada 2007.
Hakim Datuk Ghazali Cha berkata, selepas meneliti hujahan rayuan yang dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 19 November 2010, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh dan mengetepikan keputusan melepas dan membebaskan mereka sebelum ini.
Beliau mengarahkan kesemua tertuduh membela diri masing-masing di hadapan hakim perbicaraan Datuk Jagjit Singh pada satu tarikh yang ditetapkan nanti dan membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang.
Hakim Ghazali berkata, hakim Mahkamah Sesyen berkenaan terkhilaf di dalam penghakimannya kerana gagal mengambil kira keterangan saksi pendakwaan terutamanya pegawai dan anggota polis yang membuat tangkapan berkenaan disokong dengan keterangan video.
"Keterangan video adalah keterangan yang baik untuk menyokong bahawa kesemua tertuduh mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dengan memakai T-Shirt warna kuning dan gagal bersurai apabila diarah oleh pihak polis," katanya.
Hakim Ghazali berkata, keterangan saksi pendakwaan tidak boleh diketepikan begitu saja kerana tindakan mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu menyebabkan gangguan lalu lintas yang serius dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.
Mohamad Sabu, 57, lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 39, menghadapi dua pertuduhan iaitu tuduhan utama dan tuduhan pilihan.
Bagi tuduhan utama, mereka didakwa bersama-sama sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan boleh membawa kepada kemudaratan awam.
Bagi tuduhan pilihan, mereka didakwa bersama-sama mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut dan didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi setahun, jika sabit kesalahan.
Mohamad Sabu dan Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Istana Baru di sini pada 3.05 petang 10 November 2007. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment