My Add

Friday 2 March 2012

Mesyuarat khas Pas gagal selesai kemelut di Kedah

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mac, 2012: Mesyuarat khas Pas selama lebih tiga jam lewat malam tadi gagal menemui jalan penyelesaian terhadap kemelut pentadbiran kerajaan Kedah pimpinan parti itu. 

Mesyuarat yang bermula kira-kira 9 malam dipengerusikan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di ibu pejabat Pas di sini turut dihadiri Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Pihak yang terlibat dalam kemelut itu iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, anggota Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, dan Datuk Dr Ismail Salleh tidak kelihatan.

Mohamad yang ditemui media di akhir mesyuarat itu pada kira-kira 12.30 malam berkata mesyuarat itu masih belum menemui penyelesaian kemelut berkenaan. 

Katanya, mesyuarat khas akan diadakan sekali lagi pada Sabtu ini di Kedah yang akan dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semua anggota jawatankuasa pusat dan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik itu. 

"Kita harap mesyuarat itu nanti dapatlah menemui jalan penyelesaian," katanya. 

Pada 28 Februari lalu, Phahrolrazi dan Dr Ismail tidak mengangkat sumpah bagi pelantikan semula sebagai Exco. 

Bagaimanapun, tempoh khidmat mereka sebagai anggota Exco hanya tamat secara rasmi 7 Mac ini. 

Pada hari yang sama Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah berkata beliau enggan dilantik semula kerana mempunyai perbezaan pendapat yang "kritikal" dengan Azizan dalam soal pentadbiran kerajaan negeri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment