My Add

Friday 2 March 2012

Air kosong RM1.50 kena tunjuk sebab

PASIR PUTEH, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah mengeluarkan 146 surat tunjuk sebab kepada peniaga di seluruh negara yang mengenakan harga air kosong melampau sehingga RM1 dan ke atas.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas termasuk denda mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga yang masih ingkar.

“Kita beri mereka surat tunjuk sebab yang perlu dijawab dalam tempoh tujuh hari.

“Selalunya, mereka akan turunkan harga selepas itu kerana tidak mahu dikenakan tindakan. 

“Sebelum tindakan diambil, kita akan melihat terlebih dulu kawasan perniagaan, kalau warung atau kedai biasa pun takkan nak kenakan harga melampau untuk segelas air.

“Bagaimanapun, jika harga itu dikenakan di pusat beli-belah Suria KLCC maka kita akan ambil kira kos dan faktor sewa kedai,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Tok Bali, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan bahawa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa restoran membuat untung lumayan dengan menjual air kosong apabila mengenakan sehingga RM1.50. 

Berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, peniaga atau syarikat melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sekiranya disabitkan kesalahan. 

Bagi individu yang melakukan kesalahan pertama, mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berikutnya, tertuduh boleh didenda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat terbabit pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala untuk kesalahan seterusnya, dikenakan denda sehingga RM1 juta. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment