My Add

Friday 2 March 2012

Perkhidmatan TCM di klinik kerajaan tidak lama lagi

KAJANG, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Kementerian Kesihatan akan memperluaskan perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) di klinik-klinik kerajaan di negara ini, kata menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, ia selaras dengan usaha-usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan pembangunan sistem penjagaan kesihatan menjamin aksesbiliti, kemampuan, kemujaraban dan kesesuaian.

Katanya kementerian sedang dalam proses mengumpul data serta mengenalpasti perkhidmatan TCM dan lokasi sesuai untuk melaksanakan projek perintis.

"Kita akan memperkenalkan perkhidmatan TCM pada klinik-klinik besar di mana ianya akan dilengkapkan dengan sebuah Unit TCM bagi menyokong perkhidmatan perubatan yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Hospital Sungai Long (HSL), sebuah kemudahan penjagaan kesihatan swasta, di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, buat permulaan, Unit TCM akan dibuka di klinik-klinik di Johor dengan cadangan menawarkan perkhidmatan akupunktur untuk pesakit-pesakit yang mengidap penyakit kronik serta urutan tradisional Melayu untuk ibu selepas bersalin.

Ketika ini, kemudahan TCM hanya disediakan di 10 buah hospital kerajaan iaitu Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Sultan Ismail (Johor), Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Duchess of Kent (Sabah), Hospital Besar Sarawak, Hospital Port Dickson (Negeri Sembilan), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Sultanah Hajah Kalsom (Pahang) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan.

Mengenai Rang Undang-Undang TCM, Tiong Lai berkata, kementerian telah mengemukakannya kepada Peguam Negara dan berharap ia dapat dibentangkan di Parlimen bulan ini atau selewat-lewatnya Jun ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment