My Add

Thursday 1 March 2012

Sindiket culik guna suara kanak-kanak didedah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Polis hari ini mendedahkan taktik sindiket culik dan ugut di sekitar Serdang yang memperdengarkan suara kanak-kanak menangis untuk mengugut mangsa mereka.

Suara kanak-kanak itu akan diperdengarkan semasa menghubungi mangsa sebagai bukti anak mereka diculik namun sebenarnya penculikan itu tidak berlaku.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, ASP Azani Saufi berkata lebih 10 kes seumpama itu dilapor di daerah ini sepanjang tahun lepas.

Empat kes yang dilapor tahun lepas membabitkan kerugian sehingga RM57,000 apabila mangsa mereka membayar wang tebusan yang diminta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azani berkata, terdapat juga kes yang tidak membabitkan kanak-kanak, satu daripadanya dilapor Mac tahun lepas apabila seorang lelaki kerugian RM30,000 selepas menyerahkan wang kepada sindiket terbabit yang mendakwa anak lelaki mangsa yang berumur 20-an telah diculik.

Beliau berkata, sindiket yang dipercayai didalangi rakyat tempatan itu, akan menghubungi telefon rumah mangsa bagi mengelak nombor telefon mereka dikesan.

"Selain itu untuk mengelak daripada dikesan, sindiket itu juga akan membuat temu janji untuk mengambil duit yang dijanjikan di tempat yang tersorok seperti belakang-belakang pasar,” katanya yang percaya besar kemungkinan kebanyakan mangsa dikenali sindiket itu.

Azani menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sindiket berkenaan dan terus membuat laporan polis jika berlaku perkara seumpama itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment