My Add

Saturday 3 March 2012

Siri Dialog Pendidikan Nasional diadakan mulai April – TPM

MUAR, SABTU, 03 Mac, 2012: Kementerian Pelajaran akan mengadakan siri Dialog Pendidikan Nasional ke seluruh negara mulai April ini untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dialog itu merupakan sebahagian daripada kajian menyeluruh sistem pendidikan negara yang dimulakan sejak tahun lalu bagi menilai semula sistem pendidikan negara.

"Memang telah banyak kemajuan yang kita capai, namun dalam dunia lebih bersaing pada masa sekarang, kita nak lihat semula apa yang telah kita lakukan dalam sistem pendidikan, apakah kekuatan yang ada dalam sistem pendidikan kita serta kelemahan dan kekurangan yang dihadapi.

"Sehubungan itu, Dialog Pendidikan Nasional ini akan mendapatkan apa jua pandangan, cadangan, idea pemikiran yang boleh kita kumpul daripada pelbagai peringkat masyarakat daripada semua kaum serta mereka yang berkepentingan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak, Parlimen Pagoh, di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini hari ini.

Beliau berkata, siri dialog itu akan disertai satu panel khas yang akan memberikan penerangan dan penjelasan berhubung perkara itu.

Malah katanya, anggota panel itu juga bertanggungjawab untuk menerima sebarang cadangan atau memorandum yang dikemukakan kepada mereka termasuk oleh pihak persatuan, pertubuhan dan organisasi. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment