My Add

Friday 2 March 2012

Tun Mahathir gesa DRB-HICOM transformasikan PROTON

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mac, 2012: DRB-Hicom Bhd disaran supaya mengubah Proton Holdings Bhd dan meninjau cara-cara untuk memulihkan kerugian fiskal semasa syarikat berkenaan. 

Ketika membuat saranan berkenaan, bekas Perdana Menteri dan penasihat kepada pembuat kereta nasional itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengurusan baru selepas pengambilalihan, yang dijadualkan siap bulan ini, perlu membawa syarikat automotif negara itu ke era kegemilangannya.

"Jelas sekali, anda (DRB-Hicom) perlu meningkatkan organisasi, meneliti semua kerugian untuk melihat bagaimana anda boleh memulih kerugian. "Secara umumnya, syarikat baru perlu melihat semua aspek pengurusan Proton kerana ia lemah dalam semua sudut," kata Dr Mahathir kepada Bernama dalam satu temu bual.

Kerugian sebelum cukai pembuat kereta nasional meningkat kepada RM84.054 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember, 2011 berbanding dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM51.535 juta pada tempoh yang sama pada 2010. 

Pendapatan untuk tempoh berkenaan juga berkurangan kepada RM1.432 bilion daripada RM1.833 bilion sebelumnya. 

Perolehan bagi tempoh sembilan bulan pertama juga susut kepada RM5.92 bilion daripada RM6.36 bilion berdasarkan kepada kerugian sebelum cukai sebanyak RM36.530 juta daripada keuntungan pra-cukai sebanyak RM134.3 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Mengenai ketua baru Proton, Dr Mahathir berkata ia terpulang kepada DRB-Hicom sama ada untuk menamakan pengganti baru atau untuk mengekalkan pengurusan lama. 

Semasa ditanya sama ada Proton boleh mencapai semula era kegemilangannya dengan pengurusan lama di bawah induk baharu, Dr Mahathir berkata: "Jelas sekali, mungkin terdapat beberapa input baru daripada DRB-Hicom. Yang pasti ia bukan membeli Proton dan membiarkannya begitu sahaja. " 

Beliau berkata aspek keuntungan kurang daripada pengurusan semasa di bawah kepimpinan Pengerusi Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Pengarah Urusan kumpulan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed. 

"Mereka (Proton) tidak membuat keuntungan. Perniagaan mesti membuat keuntungan. Jadi kita mesti mengetahui mengapa mereka tidak meraih untung," kata Dr Mahathir. 

Pada Januari 2012, DRB-Hicom berjaya membeli 42.7 peratus pegangan Khazanah Nasional Bhd dalam Proton pada RM1.29 bilion atau RM5.50 sesaham. 

DRB-Hicom dijangka menjadikan Proton syarikat persendirian secara rasmi hujung bulan ini, selepas selesai peraturan pengambilalihan tertentu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment