My Add

Thursday, 1 November 2012

20,000 Kad Komuter 1Malaysia diedar

 *SEBAHAGIAN daripada 100 murid dari tiga buah sekolah di Tanjung Malim iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Malim, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chungsin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Tan Sri Manikavasagam melambai tangan sewaktu dibawa menaiki komuter dari Tanjung Malim ke Stesen Sentral Kuala Lumpur sempena program FAM Trip Mykomuter, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012: Sebanyak 20,000 Kad Komuter 1Malaysia telah dikeluarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada pengguna perkhidmatan komuter sejak kaunter pendaftaran kad tersebut dibuka pada 22 Oktober lalu.

Bagaimanapun jelas Naib Presiden Eksekutif Perniagaan KTMB, Sarbini Tijan, jumlah tersebut masih berkurangan berbanding borang permohonan yang telah dikeluarkan oleh KTMB.

"Masih ramai yang belum mengembalikan borang permohonan untuk menuntut kad tersebut meskipun pelaksanaan pemberian diskaun melaluinya akan bermula esok.

"Sehubungan itu, kami berharap agar mereka dapat segera melakukannya dan mengambil kad tersebut di kaunter khas yang diwujudkan di 11 buah stesen utama KTMB," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program Fam-Trip MyKomuter Bersama Kanak-kanak Sekolah Fasa Dua di KL Sentral, di sini hari ini.

Menurut Sharbini, selain KL Sentral, kaunter khas tersebut terdapat di stesen Kepong Sentral, Tanjung Malim, Subang Jaya, Sentul, Bangi, Sungai Gadut, Seremban, Kajang, Bank Negara dan yang bakal dibuka iaitu stesen Sungai Buloh.

"Kaunter khas ini akan beroperasi sehingga 21 November ini dari pukul 11 pagi hingga 8 malam kecuali pada cuti umum.

"Orang ramai perlu mengambil peluang ini kerana ternyata mampu memberi penjimatan dan meringankan perbelanjaan mereka di samping menggalakkan menggunakan komuter bagi urusan seharian," katanya.

Menerusi Kad Komuter 1Malaysia, warganegara Malaysia yang berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah layak mendapat diskaun sebanyak 50 peratus bagi pembelian tiket KTMB komuter untuk tempoh setahun mulai 1 November ini hingga 31 Oktober tahun depan.

Pemberian diskaun itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2013 dan sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat.

Seramai 100 murid dari tiga buah sekolah terpilih sekitar Tanjung Malim iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Malim, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chungsin dan SJK Tamil Tan Sri V. Manikavasagam terlibat dalam program Fam-Trip MyKomuter Fasa Dua tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment