My Add

Wednesday, 28 November 2012

Waris dakwa hak mangsa kemalangan maut terabai

MELAKA, SELASA, 27 November, 2012: Waris mangsa kemalangan maut membabitkan bas Ekspres Delima di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat pada 10 Oktober 2010 memohon kerajaan mengkaji semula Akta Undang-Undang Sivil 1957 bagi menjamin hak mangsa yang terlibat.

Bapa kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan itu, Fadzry Tan Abdullah (gambar), 47, berkata, Seksyen 7(3A) dan (3B) akta itu sudah tidak relevan lagi kerana digubal pada 1984 dan pampasannya juga tidak setimpal dengan kesan yang dialami oleh mangsa dan keluarga.

Menurutnya, kedua-dua seksyen itu menyatakan penumpang bas ekspres berusia 18 tahun ke bawah hanya boleh mendapat pampasan RM13,000 iaitu RM10,000 sebagai ganti rugi kesedihan dan RM3,000 pengkebumian.

"Mangsa yang berusia 18 tahun ke atas pula, tidak berkahwin dan tidak bekerja hanya dibayar RM3,000 sebagai kos pengkebumian.

"Ini sangat tidak setimpal dan tidak relevan kerana saya merasakan kematian anak saya sia-sia begitu sahaja tanpa ada sebarang pembelaan sejak dua tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Semabok Perdana, di sini hari ini.

Dalam kemalangan itu, sebanyak 12 penumpang terbunuh termasuk anak Fadzry iaitu Sherene Sofea yang berusia 17 tahun ketika itu.

Menurutnya, disebabkan akta itu, kira-kira tiga lagi waris mangsa yang terbabit dalam kemalangan yang sama turut gagal menuntut hak yang sewajarnya.

Malah katanya, sehingga kini kes tuntutan di mahkamah belum diselesaikan biarpun kemalangan itu telah dua tahun berlalu.

Menurutnya, kes tersebut kini dikendalikan oleh peguam yang dilantik oleh Pembela Barisan Nasional (BN). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment