My Add

Thursday 29 November 2012

Enam dijadikan tawanan selama 3 jam


 *MANGSA tebusan dikeluarkan daripada hospital selepas seorang pemuda berumur 27 tahun menahan enam orang tebusan dalam satu kejadian cubaan menyamun di sebuah kedai salon di Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI, SELASA, 27 November, 2012: Lima pekerja salon dan seorang pekerja restoran berhadapan detik cemas apabila menjadi tawanan seorang penjenayah bersenjatakan pistol tiruan selama tiga jam di sebuah salon di Jalan Guchil di sini petang ini.

Kejadian yang berlaku pada pukul 2.20 petang itu turut mengakibatkan dua daripada mereka pengsan yang mana seorang daripada mereka diserang asma.

Babak cemas seperti aksi di dalam drama yang melibatkan sesi rundingan antara pihak polis dan suspek tersebut turut disaksikan oleh ribuan orang ramai yang berkumpul di bawah premis berkenaan untuk melihat kesudahannya.

Mangsa yang terlibat adalah pekerja salon, Siti Roskasma Rozali, 18, Nadzirah Isa, 18, Nur Nadia Najwa Zainuddin, 18, Mohd. Zafri Mat Hussin, 24, dan pekerja restoran, Nur Shuhadah Mohd. Rozali, 21.

Seorang lagi pekerja salon bagaimanapun tidak dapat dipastikan identitinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, polis berjaya menahan suspek lelaki yang berumur 27 tahun itu selepas dipujuk selama tiga jam.

Katanya, semasa kejadian suspek menggunakan pistol tiruan dan sebilah pisau.

"Siasatan mendapati suspek merupakan graduan pereka grafik dari sebuah universiti tempatan dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Zafri, semasa kejadian, dia berada di dalam tandas dan terkejut apabila keluar dan ternampak seorang lelaki sedang mencekik seorang rakannya sambil mengacukan pistol.

"Saya masuk kembali dalam tandas, menghubungi polis dan mendiamkan diri selama tiga jam kerana bimbang suspek melepaskan tembakan," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai.

Siti Roskasma pula berkata, suspek menekan loceng pintu dan sejurus dia membukanya, lelaki terbabit bertindak memegang Nazirah dan meminta agar membuka peti simpanan wang.

"Bila saya beritahu saya tidak boleh membukanya, dia minta saya menghubungi bos saya yang ketika itu tiada di salon.

"Tetapi selepas hampir sejam, Nazirah mula sesak nafas dan dia melepaskan Nazirah dan memegang saya pula," katanya mengimbas detik cemas itu.

Mohd. Zafri dan Nur Nadia Najwa yang bersembunyi di dalam sebuah bilik rawatan muka telah menghubungi polis melalui telefon bimbit masing-masing.

Polis yang tiba 15 minit kemudian terpaksa berunding dengan suspek selama tiga jam sebelum dia melepaskan seorang demi seorang tawanan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment