My Add

Wednesday, 28 November 2012

Sebutan kes pengawal bunuh ejen hartanah 9 Januari

PETALING JAYA, SELASA, 27 November, 2012: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 9 Januari depan bagi sebutan semula kes seorang pengawal keselamatan warga Pakistan yang didakwa membunuh seorang ejen hartanah yang mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel di dalam semak berhampiran sebatang sungai, Julai lalu.

Majistret Mohd. Nazri Omran menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat hari ini memaklumkan, pihak pendakwaan masih belum menerima laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Ishtiq Ahmad Khan, 25, bersama beberapa orang yang masih bebas didakwa membunuh Tang Yong Ching, 45, di F-2-2A. Blok F, kedai pejabat Taipan 1, Jalan PJU 1A/3N, Ara Damansara di sini antara pukul 4 petang dan 11 malam, 5 Julai lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut menghadapi tuduhan menipu bagi membeli sayuran dan dua unit komputer riba jenama Acer serta HP yang kesemuanya bernilai RM4,636.85 dengan menggunakan kad debit RHB Visa milik mangsa.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di pasar raya besar Tesco, Mutiara Damansara dan AEON Jusco, Bandar Utama Damansara di sini pada 6 dan 7 Julai lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment