My Add

Saturday 3 November 2012

Kemampuan kita terbukti - PM
 
*NAJIB Tun Razak bersama Presiden HMC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri), Raja Dr. Nazrin Shah (kanan) dan Presiden FIH, Leandro Negre menghadiri majlis Makan Malam Kongres FIH Ke-43 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam.

Oleh MOHD ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 November, 2012: Kerajaan menyambut baik hasrat Konfederasi Hoki Malaysia (HMC) membida menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 selepas kali terakhir Malaysia menganjurkan kejohanan itu pada 2002.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penganjuran acara sukan bertaraf dunia itu akan meletakkan Malaysia dalam peta sukan global sebagaimana pernah dibuktikan dalam legasi kejohanan-kejohanan sukan besar yang dianjurkan sebelum ini.

"Hoki telah menjadi bukti kemampuan Malaysia menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa dengan infrastruktur bertaraf dunia. Ini legasi yang kita boleh terus bangunkan selaras dengan hasrat HMC membida kejohanan Piala Dunia 2018," katanya.

Beliau berucap dalam majlis makan malam sempena Kongres Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Ke-43 yang disertai lebih 200 perwakilan dari 91 negara di sini malam ini.

Dalam majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan Tengku Mahkota Pahang, Raja Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku peminat dan orang kuat hoki Malaysia turut mencemar duli memeriahkan majlis tersebut.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden FIH, Leandro Negre serta Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Kelly Fairweather.

Terdahulu, Tengku Abdullah yang juga Presiden HMC dalam ucapannya berkata, konfederasi itu bersedia menawarkan Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018.

Dalam pada itu, Najib berkata, perkembangan sukan hoki di negara ini semakin berkembang dari semasa ke semasa sejak penganjuran kejohanan Piala Dunia 1975 dan 2002 sebelum diikuti tiga kejohanan Piala Dunia Remaja serta acara tahunan iaitu Piala Sultan Ahmad Shah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment