My Add

Saturday 3 November 2012

Negara membangun mesti berani

*DR. MAHATHIR Mohamad (duduk, tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pembangunan Buku Hijau Holdings Sdn. Bhd., (PBHH) yang diwakili oleh Pengerusi PBHH, Datuk Ibrahim Jendol (kanan) dan Menteri Kewangan Sudan, Ali Mahmoud pada Forum Perdagangan Malaysia-Sudan di Khartoum, Sudan, semalam. Turut serta Ali Osman Mohammed Taha (duduk, kanan). - BERNAMA
Oleh Raja Syahrir Abu Bakar
KHARTOUM, JUMAAT, 02 November, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru kerajaan di seluruh dunia, terutama dalam kalangan negara membangun mengambil langkah berani membuat keputusan yang disifatkan sesetengah pihak sebagai melawan arus dalam usaha memperkukuhkan ekonomi masing-masing.
Katanya, keberanian itu menjadi salah satu punca Malaysia berupaya membangunkan ekonomi dengan signifikan sejak selepas merdeka sehingga kini, walaupun berasal daripada sebuah negara pertanian.

Menurut beliau, Malaysia selepas merdeka juga mengamalkan dasar memberikan pengecualian cukai kepada syarikat asing yang beroperasi di negara itu.

“Malaysia juga sebuah negara yang pragmatik dengan tidak teragak-agak mengamalkan ciri-ciri kapitalis dan sosialis bagi membangunkan ekonominya," katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk Cerminan Pengalaman Pembangunan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang berada selama tiga hari di sini sejak semalam dijemput khas kerajaan Sudan bagi menghadiri Forum Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Sudan (Masutif) yang julung kali dianjurkan bagi meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Forum lima hari yang bermula hari ini merupakan anjuran bersama kerajaan Sudan melalui kedutaannya di Kuala Lumpur dan Majlis Perniagaan Malaysia-Sudan.

Dr. Mahathir serta para kenamaan Sudan sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan syarikat Malaysia antaranya Pembangunan Buku Hijau Holdings Sdn. Bhd., Mimos Bhd., Universiti Kuala Lumpur, Malaysia Airports Holdings Bhd., dan Felda dengan syarikat tempatan.

Yang hadir sama, Naib Presiden Pertama Sudan, Ali OsmanMohammed Taha; Menteri Luar Sudan, Ali Ahmed Karti; Duta Malaysia di sini, Datuk Mohd. Ashri Muda; Duta Sudan Ke Malaysia, Nadir Yousif Eltayeb dan delegasi perniagaan Malaysia.

Dr. Mahathir berkata, forum itu diharap dapat membantu meningkatkan kerjasama antara kerajaan serta syarikat di kedua-dua negara.

Sementara itu, Ali Osman berkata, Sudan mahu mendapatkan bantuan nasihat serta kepakaran Malaysia dalam membangunkan ekonomi negara Afrika tersebut.

“Sudan menghormati Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju di bawah kepimpinan kerajaan yang baik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment