My Add

Wednesday 28 November 2012

KUB taja 6,000 naskhah Utusan Malaysia

 *ABD. Halim Abd. Samad (tengah) menyerahkan replika cek sebagai simbolik penajaan Utusan Malaysia kepada Hasmadi Hassan sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan KUB, Datuk Wan Mohd. Nor Wan Ahmad di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: KUB Malaysia Bhd. (KUB) meneruskan tradisinya menaja akhbar Utusan Malaysia dalam Perhimpunan Agung UMNO apabila menaja sebanyak 6,000 naskhah akhbar itu sepanjang edisi kali ini yang bermula hari ini hingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abd. Halim Abd. Samad berkata, pihaknya tidak pernah ketinggalan menaja akhbar Utusan Malaysia dalam perhimpunan agung parti keramat orang Melayu itu kerana menganggap Kumpulan Utusan sebagai sahabat karib lama yang setia.

Katanya, KUB selama ini mendapat banyak kerjasama daripada Kumpulan Utusan bagi menonjolkan kepentingan syarikat kepada orang ramai.

“Kita dapati Kumpulan Utusan merupakan sahabat karib lama yang setia daripada segi menjayakan aktiviti-aktiviti KUB. Bagi saya, Kumpulan Utusan banyak membantu kejayaan KUB," katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas menyerahkan replika cek tajaan bernilai RM7,200 kepada Pengurus Kanan Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Hasmadi Hassan di gerai korporat KUB di PWTC di sini hari ini.

Sementara itu, Hasmadi memberitahu, tajaan akhbar Utusan Malaysia oleh KUB dalam perhimpunan tahun ini lebih tinggi berbanding 5,000 naskhah bernilai RM6,000 sepanjang perhimpunan tahun lepas.

“Kita akan edarkan sebanyak 1,200 naskah akhbar tajaan itu secara percuma kepada perwakilan dan pengunjung perhimpunan ini setiap hari," katanya.

Menurut beliau, sempena perhimpunan kali ini juga Kumpulan Utusan turut mendapat tajaan akhbar Utusan Malaysia daripada UMNO iaitu sebanyak 15,000 naskhah bernilai RM18,000 dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. sebanyak 8,300 naskhah bernilai RM10,000.

Hasmadi berkata, sepanjang lima hari perhimpunan itu berlangsung kira-kira 5,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia akan diedarkan secara percuma kepada perwakilan dan pengunjung setiap hari. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment