My Add

Wednesday 28 November 2012

Penduduk gesa pihak berkuasa buru Bujang Pasir

*SUASANA sunyi selepas kejadian serangan buaya yang mencederakan seorang remaja di pantai Kampung Pasir Panjang, Santubong, Kuching, baru-baru ini.

KUCHING, SELASA, 27 November, 2012: Penduduk Kampung Pasir Panjang, Santubong dekat sini menggesa pihak berkuasa supaya melancarkan operasi memburu seekor buaya jenis jejulong yang mengancam keselamatan orang awam di Pantai Pasir Panjang, baru-baru ini.

Menurut mereka, selagi reptilia yang digelar Bujang Pasir itu tidak ditangkap atau dibunuh, buaya itu mungkin kembali mengganas dan menyerang manusia sehingga mengakibatkan kematian.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Amin, 34, berkata, dia sering melihat Bujang Pasir timbul di permukaan air di sekitar Pantai Pasir Panjang.

"Pada mulanya saya tidak percaya ada buaya kerana kebiasaannya, buaya hanya ditemui di sungai. Namun apabila melihat sendiri haiwan tersebut di depan mata, saya tidak lagi membenarkan ahli keluarga mendekati kawasan itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang pelajar UiTM, Muhammad Azlan Marzuki, 20, nyaris maut selepas diserang seekor buaya ketika mandi di Pantai Pasir Panjang kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

Pada Ogos lalu, reptilia ganas tersebut pernah cuba membaham Ashley Austin Chin, 14, ketika remaja itu sedang mandi bersama rakan-rakannya di pantai sama.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Akus, 30, memberitahu, Bujang Pasir sering dilihat timbul di permukaan air pada pukul 6 pagi dan 6 petang dan seolah-olah sedang mencari makanan.

Beliau menyifatkan kehadiran reptilia tersebut menyebabkan pelancong enggan berkunjung ke Pantai Pasir Panjang kerana khuatir keselamatan diri dan keluarga.

"Sehubungan itu, saya berharap papan tanda amaran buaya dan jaring penghalang dipasang di sekitar kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga.

"Selagi pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan untuk membunuh atau memburunya, saya bimbang akan ada nyawa yang melayang kelak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Reaktor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Madya Wan Akil Tuanku Abdullah ketika dihubungi berkata, pihak universiti bercadang memberi bantuan kecemasan berbentuk wang mengikut tahap keseriusan kecederaan Muhammad Azlan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment