My Add

Saturday 3 November 2012

Projek kubur dalam taman Raudhatul Sakinah tarik minat negara luar

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 November, 2012: Projek kubur dalam taman (Raudhatul Sakinah) dan sistem e-Pusara kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mula menarik minat pihak dari dalam dan luar negara yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung pelaksanaannya.

Menurut Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, selain pihak berkuasa tempatan dan majlis agama negeri-negeri, projek itu turut menarik minat beberapa pihak dari Singapura dan Brunei yang menyatakan hasrat melawat dan melihat sendiri projek itu terutama dari segi urus tadbir tanah perkuburan Islam.

"Menerusi projek ini, tanah perkuburan Islam akan dinaik taraf menjadi sebuah tanah perkuburan yang moden serta landskap yang menarik.

"Ini juga bertujuan menghapuskan persepsi negatif masyarakat terhadap tanah perkuburan Islam yang dianggap menyeramkan untuk dikunjungi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi projek Raudathul Sakinah Kuala Lumpur-Karak, di Taman Batu Muda, di sini hari ini.

Projek Raudhatul Sakinah itu merupakan cetusan idea Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Projek itu dirasmikan 22 Julai lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dalam ucapan perasmiannya ketika itu berharap projek pertama seumpamanya di Malaysia dan di dunia tersebut dapat menjadi ikutan negeri-negeri lain.

Che Mat yang juga Setiausaha MAIWP berkata, selain Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak, Jawi turut menaik taraf tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1 dan Bukit Kiara 2 yang masing-masing berkeluasan 5.84 dan 2.16 hektar.

"Pelengkap kepada projek ini, Jawi turut membangunkan sistem e-Pusara bertujuan menyalurkan maklumat berkenaan tanah perkuburan Islam di seluruh Wilayah Persekutuan.

"Informasi ilmiah ini berkaitan pengurusan jenazah Islam dan turut berfungsi sebagai laman carian lot kubur oleh waris," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment