My Add

Saturday 3 November 2012

Rafizi langgar Akta BAFIA - Shafee & Co

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 November, 2012: Pelanggaran undang-undang di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) dengan alasan bertindak sebagai 'pemberi maklumat' (whistleblower) tidak boleh dibenarkan kerana boleh memusnahkan sistem perbankan negara.

Sambil merujuk kepada kes Rafizi Ramli dalam isu National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), firma guaman terkenal, Shafee & Co dalam kenyataan di sini hari ini berkata, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah melanggar akta BAFIA apabila mendedahkan dokumen bank yang dimiliki secara tidak sah.

"Pemilikan dokumen berkenaan adalah tanpa mendapat kebenaran pemilik akaun, bank terlibat mahupun Bank Negara (BNM). Beliau juga dengan berani menyatakan memiliki lebih banyak dokumen bank dalam kes itu.

"Sistem perbankan dan kewangan negara tidak boleh dikompromi dengan isu-isu politik dan sensasi seperti ini," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas pelbagai laporan berkenaan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen berhubung pendedahan dalam isu NFCorp.

Menurut kenyataan tersebut, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) menetapkan pemberi maklumat yang tulen harus melaporkan apa-apa yang difikirkan sebagai sempadan dengan kesalahan jenayah atau lain-lain kesalahan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu bagi membolehkan tindakan diambil.

"Dengan berbuat demikian, kita mempunyai situasi yang mana pemberi maklumat adalah tulen dan integriti BAFIA akan dilindungi.

"Sebaliknya, jika pemberi maklumat dibenarkan mengumumkan kepada orang ramai mengenai maklumat sulit awam yang dilindungi di bawah BAFIA tanpa terlebih dahulu merujuk kepada agensi-agensi berkaitan, perkara itu boleh mengundang huru-hara dalam sistem kewangan negara," demikian menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, pandangan sama juga dinyatakan ketua eksekutif bank-bank di negara ini yang menekankan kepentingan kesulitan dan kerahsiaan pelanggan untuk dijaga.

"Peguam Negara dan BNM seharusnya tidak terpengaruh dengan retorik politik yang dimainkan malah perlu menyiasat Rafizi berhubung perlanggaran mutlak BAFIA yang telah dilakukan," jelas kenyataan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment