My Add

Wednesday 26 December 2012

Empat warga India ditahan cuba seludup dadah RM1.73 juta

SEPANG, RABU, 26 Disember 2012: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mematahkan empat percubaan penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merampas 28.45 kilogram dadah bernilai RM1.73 juta minggu lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, pihaknya menahan empat warga India, termasuk seorang wanita dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lepas (21 Dis hingga 23 Dis) dan kesemua suspek kini direman 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, keempat-empat kes menggunakan modus operandi sama iaitu menyembunyikan dadah dalam bagasi atau beg galas dan cuba melepasi kawalan kastam.

"Sepanjang tahun ini, seramai 19 warga India ditahan kerana cuba menyeludup 111.58 kg dadah bernilai RM10.54 juta," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Badaruddin berkata, dalam kes pertama pada Jumaat lepas, seorang juruteknik warga India, 38 tahun yang menaiki pesawat dari Mumbai ke Malaysia ditahan kerana cuba menyeludup Methamphetamine dengan berat kira-kira 4.75 kilogram bernilai RM902,500.

Katanya, pada Sabtu lalu seorang lelaki berusia 27 tahun yang menaiki peswat dari Gaya, India, transit di Bangkok sebelum tiba di Malaysia ditahan kerana cuba menyeludup dadah jenis Ketamine berat kasar 6.9 kilogram bernilai RM241,500.

Beliau berkata, dalam pesawat sama seorang suri rumah berusia 40 tahun juga ditahan kerana cuba menyeludup Ketamine dengan berat kasar 11.85 kilogram bernilai RM414,750. 

"Kita masih menyiasat sama ada kedua-dua suspek ini daripada sindiket yang sama atau tidak. Namun, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tiada hubungan," katanya.

Badaruddin berkata, dalam kes keempat pada Ahad lalu, pihak kastam menahan seorang ahli perniagaan warga India, 54, yang sudah memasuki negara ini sebanyak lama lapan kali tahun ini kerana cuba menyeludup masuk Ketamine dengan berat kasar 4.95 kg bernilai RM173,250.

Sepanjang tahun ini sehingga Isnin lepas, Badaruddin berkata, kastam di KLIA berjaya merampas 311.57 kilogram dadah bernilai RM35.07 juta dan menahan 68 individu, termasuk 15 perempuan yang terlibat dalam penyeludupan dadah di KLIA.

"Warga Nigeria adalah paling ramai ditahan kerana menyeludup dadah tahun ini iaitu seramai 20 orang dikuti 19 warga India dan Iran (lapan), Indonesia (empat) dan Malaysia (tiga)," katanya.

Pada 2011, Kastam KLIA berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah dan merampas 1,097 kilogram yang bernilai RM261.67 juta dan menahan 34 individu, termasuk tiga wanita. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment