Stor perabot musnah dalam kebakaran, rugi RM1 juta
NIBONG TEBAL, RABU, 26 Disember, 2012: Sebuah stor menyimpan peralatan perabot di Kampung Changkat Dain, Sungai Bakap dekat sini hangus musnah dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi mengakibatkan kerugian lebih RM1 juta.
Kebakaran itu berlaku pada jam 4.15 pagi dan menyebabkan 95 peratus stor milik syarikat Sim Ho itu musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Noor Asfariza Mohd Abdul Kadir, berkata jentera pertama tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan daripada orang awam dan ketika pihak kami tiba api sedang marak.
"Seramai 20 anggota dengan empat jentera dari Sungai Bakap, Nibong Tebal, Perai dan Bandar Perda berjaya mengawal kebakaran pada 5 pagi dan memadamkan keseluruhan kebakaran itu kira-kira setengah jam selepas itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
"Lebih 95 peratus stor berkenaan terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment