KUANTAN, RABU, 26 Disember, 2012: Seorang penolong penguatkuasa Majlis Perbandaran Bentong hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah tahun ini.
Ahmad Razif Abdul Raof, 35, didakwa memperoleh suapan wang tunai RM500 daripada Gow Mor Meng sebagai dorongan supaya tidak menyamannya kerana mengubah suai kedai Mercury Pharmacy miliknya tanpa kebenaran yang merupakan kesalahan mengikut Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis milik Gow di Jalan Ah Peng, Bentong pada jam 11.45 pagi 16 September 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama.
Tertuduh boleh dihukum dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Fathiyah Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu seorang pengunjung pusat judi di Genting Highlands, Seh June Yew, 24, mengaku tidak bersalah memberi suapan wang tunai RM50 kepada seorang polis bantuan di sebuah pusat judi di situ Oktober lalu.
Tertuduh didakwa memberi suapan kepada Jaspal Singh Santokh Singh di perkarangan pintu masuk utama Circus Palace Casino De Genting pada jam 1.30 pagi, 26 Oktober sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang membawa masuk gadis bawah umur 21 tahun ke pusat judi itu.
Seh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Fathiyah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Norazman Jaya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment