My Add

Wednesday, 26 December 2012

Proses tapisan calon PRU perlu diperluas

Oleh Norakmah Mat Youb dan Mohd Nasaruddin Parzi 

KUALA LUMPUR, SELASA, 255 Disember, 2012: Proses tapisan senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) perlu diperluaskan termasuk mengambil kira soal salah laku moral dan tidak sekadar menyentuh isu rasuah saja.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi (gambar), berkata ia termasuk kes dalam siasatan pihak berkuasa, kes jenayah dan muflis.

Katanya, tapisan menyeluruh terhadap isu rasuah dan salah laku akan memastikan kredibiliti politik serta amalan demokrasi negara menjadi lebih telus dan dihormati.

Kita dulu banyak pengalaman apabila ada YB (Yang Berhormat) dihadapkan ke mahkamah selepas pilihan raya umum, termasuk daripada pakatan (pembangkang), katanya kepada BH.

 Ditanya mengenai tindakan pembangkang tidak sependapat termasuk mempersoal kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksana proses tapisan terhadap calon, Puad berkata ia bukti mereka cakap tidak serupa bikin.

Katanya, ada segelintir pemimpin pembangkang tidak akan bersetuju dan terus mempersoalkan proses berkenaan walaupun bertujuan baik.
Itu perangai mereka. Nampaknya mereka cakap tidak serupa bikin. Kebenaran dan ketelusan hanya pada kaca mata mereka. Semua parti politik dan calon patut setuju.

Sampai masanya hanya calon yang layak akan dipilih menjadi calon. Mungkin parti tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai seseorang calon, khususnya dalam kes rasuah dan jenayah. Tapisan SPRM bukan soal kemampuan tetapi rekod salah laku. Ia menjimatkan masa dan wang, katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM mencadangkan kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon PRU-13 untuk proses tapisan SPRM.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat, berkata tindakan pemimpin pembangkang mempersoalkan proses itu menunjukkan sikap tidak profesional parti terbabit yang enggan menerima pembaharuan.

Cadangan itu sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kredibiliti calon bertanding. Pembangkang sering mengkritik tetapi apabila ada cadangan baik, mereka pula menolak, katanya.

Samsul berkata, cadangan tapisan itu bertepatan selain mengembalikan keyakinan rakyat bakal pemimpin negara bebas daripada rasuah dan salah laku. _ BH

No comments:

Post a Comment