My Add

Wednesday, 26 December 2012

Pencapaian Pandelela warnai kejayaan atlit Malaysia bagi 2012

K
Pandelela Rinong


KUALA LUMPUR, RABU, 26 Disember, 2012:: Kejayaan demi kejayaan yang dicipta atlit negara dalam pelbagai acara sukan sudah banyak menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa sepanjang 2012.
Tidak kira di peringkat mana sekali pun, atlit negara sudah membuktikan
kemampuan mereka bersaing bukan sahaja untuk kepuasan peribadi tetapi yanglebih penting bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan dunia.

Mewarnai pencapaian yang harus dibanggakan rakyat Malaysia ialah pungutan
satu pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Olimpik London yang diperoleh
menerusi Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Pandelela Rinong Pamg (terjun).

Biarpun tidak banyak kilauan pingat diraih atau sasaran pingat emas pertama
Malaysia pada temasya sukan terbesar dunia itu tidak kesampaian, pencapaian
terbabit adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan temasya sebelum ini.
Ini kerana, pada temasya Olimpik empat tahun lepas di Beijing, China,

Malaysia hanya meraih satu perak, dan meskipun kejayaan kali ini menyamai
pencapaian kontinjen negara dalam edisi 1996 di Atlanta, namun ia diraih dalam
dua acara berbeza.

Jadi, ia pencapaian luar jangkaan kerana sejak atlit negara menyertai
temasya berkenaan pada 1956, hanya acara badminton yang menyumbangkan pingat kepada Malaysia.

Malah, pencapaian menakjubkan Pandelela, gadis Bidayuh dari Bau, Sarawak
yang mencipta sejarah dengan meraih pingat gangsa dalam acara terjun menjadikan
beliau atlit wanita pertama Malaysia merangkul pingat dalam temasya Olimpik.

Kejayaan Malaysia berkongsi kedudukan dengan lima negara lain di tempat
ke-63 dari 85 negara yang meraih pingat pada temasya itu, juga dianggap baik
jika dibandingkan dengan kontinjen lain, antaranya negara asal Olimpik, Greece.

Sementara itu, pencapaian atlet paralimpik negara tidak kurang hebatnya
apabila Malaysia memenangi sebutir pingat perak menerusi pemanah, Hasihin Sanawidan satu gangsa menerusi Muhammad Ziyad dalam acara melontar peluru.

Kejayaan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik London itu adalah
pencapaian terbaik atlet istimewa tersebut sejak mereka menyertai temasya
berkenaan.

Jaguh badminton dunia, Chong Wei masih terus cemerlang di pentas
antarabangsa walaupun beliau gagal menterjemahkan emas pertama Malaysia pada
Sukan Olimpik London selepas tumpas kepada musuh ketatnya, Lin Dan dari China.

Kejayaannya merangkul beberapa gelaran sepanjang tahun ini meletakkan Chong
Wei kekal sebagai pemain nombor satu dunia, sesuatu yang jarang dilakukan pemainMalaysia untuk memegang status itu bagi tempoh yang lama iaitu sejak 2008
walaupun ada kalanya ranking beliau jatuh tetapi kembali ke nombor satu.

Selepas mengecap pelbagai kejayaan dalam arena badminton, Chong Wei, 30,
menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan hatinya yang juga bekas pemain
wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo, selepas 11 tahun mengharungi pelbagaicabaran sebagai pasangan kekasih.

Mereka mula bersua muka ketika bersama-sama di kem badminton kebangsaan 2001di Kuala Lumpur apabila menjadi pemain pelapis bagi skuad negara dan pada tarikh9 November lepas, mereka disatukan sebagai suami isteri pada satu majlis yangdisifatkan sebagai "wedding of the year".

Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David juga terus memahat nama sebagai
pemain 'luar biasa' dalam sukan squasy apabila kekal sebagai pemain wanita
nombor satu dunia, gelaran yang diraihnya sejak 2006.

Walaupun rankingnya ada kalanya jatuh, Nicol tetap unggul sebagai pemain
skuasy wanita terbaik dunia dengan pelbagai gelaran juara dalam genggamannya
tahun ini.

Malaysia juga boleh meletakkan harapan kepada pelumba Moto3 negara, MuhammadZulfahmi Khairuddin untuk menaikkan nama Malaysia di gelanggang sukan pemotorandunia apabila beliau turun beraksi dalam saingan MotoGP 2013.

Kejayaan pelumba Air-Asia-SIC-Ajo itu meraih dua podium, masing-masing di GP
Malaysia dan GP Valencia memperlihatkan beliau antara pelumba yang perlu diberi
perhatian dalam saingan MotoGP musim depan.

Ini terutamanya selepas dinobatkan sebagai 'Pelumba Paling Meningkat 2012';
pemilihan untuk anugerah itu dilakukan oleh laman rasmi Kejuaraan MotoGP Dunia, www.motogp.com menerusi program pemilihan 'After the Flag' setiap tahun.

Muhammad Zulfahmi bukan saja melakar kemenangan dengan meraih tempat keduadi Sepang dan ketiga di Valencia tetapi musim 2012 juga memperlihatkan dia
berjaya mencatat tiga masa terpantas di GP Belanda, GP Malaysia dan GP Valenciasekali gus memberi gambaran betapa musim depan amat dinanti-nantikannya.

Kecemerlangan jaguh boling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek menjulang
kejuaraan Piala Dunia QubicaAMF di Wroclaw, Poland awal Disember ini, pula
melengkapkan koleksi gelaran utama pemain boling kebangsaan di peringkat
antarabangsa.

Sebelum ini, Malaysia pernah mengecapi kejayaan dalam semua saingan
peringkat tertinggi termasuk Kejohanan Dunia, namun gelaran juara Piala Dunia
tidak pernah terjangkau oleh mana-mana pemain negara.

Dalam arena sukan tempatan, saingan bola sepak Liga Malaysia mencetuskan
fenomena baharu apabila Kelantan dinobatkan sebagai juara treble kejohanan bola
sepak berprestij di negara ini.

Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia 2012 selepas menewaskan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada perlawanan akhir, turut unggul sebagai juara
Liga Super serta Piala FA dan kejayaan itu menyamai pencapaian Kedah yang
melakukannya pada 2007 dan 2008.

Namun, kegagalan skuad Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan bola sepak
Piala AFF Suzuki 2012 apabila terkandas di peringkat separuh akhir selepas
tumpas kepada Thailand, ternyata mengecewakan peminat sukan tempatan.

Anak buah Datuk K. Rajagobal itu gagal mengekalkan kejuaraan yang dimenangi
mereka dua tahun lepas apabila tumpas 1-3 secara agregat kepada Thailand.

Meskipun pelbagai kejayaan dicipta, tahun 2012 juga tidak sunyi daripada
kontroversi dalam beberapa jenis sukan.

Pada April lepas, peminat bola sepak tanah air terutama penyokong Kelantan
dikejutkan apabila Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan
Sri Annuar Musa digantung dua setengah tahun.

Hukuman ke atas Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan oleh
Jawatankuasa Tatatertib FAM, kerana beliau didapati bersalah membuat kenyataan
akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel
88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Februari lepas.

Penggantungan terhadap Annuar itu menjadikan beliau individu ketiga menjadi
'mangsa' hukuman FAM selepas dua bekas Naib Presiden FAM sebelum ini, Datuk
Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yangdigantung kerana mengkritik FAM.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang sering dilanda masalah terus
mencetuskan kontroversi semasa proses pemilihan pucuk pimpinan baharunya pada
September lepas.

Mesyuarat Agung Tahunan KOM bermula dalam suasana kecoh susulan pertikaian
sama ada ia harus diteruskan atau ditunda dan bukan itu sahaja, calon Presiden
KOM yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, Datuk Zainaln Abidin Ahmad menyuarakan perasaan tidak puas hati berikutan mesyuarat tersebut ditutup oleh pengerusi yang juga Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassimsebelum keputusan undian diumumkan.

Pada pemilihan itu, Shahidan gagal mempertahankan jawatan Presiden KOM
apabila ia kini disandang Zainal Abidin, manakala Timbalan Presiden KOM Datuk
Karim Ibrahim turut kecundang mengekalkan jawatan itu apabila ia kini dipegang
Datuk Wan Hisyam Wan Salleh.

Dalam keghairahan negara meraih pengiktirafan dalam bidang sukan di
peringkat antarabangsa, Malaysia kehilangan tokoh sukan tersohor, Tan Sri HamzahAbu Samah yang meninggal dunia pada 4 September lepas.

Hamzah, 88, yang banyak mewarnai arena sukan tempatan serta membawa negara
ke persada antarabangsa, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di
Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan akibat sakit tua.

Berikutan pembabitan aktifnya dalam arena sukan, Allahyarham semasa
hayatnya telah dilantik menjadi presiden bagi beberapa persatuan sukan tempatan
dan antarabangsa.

Presiden seumur hidup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu semasa hayatnya
pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) dankemudian Presiden Kehormat AFC, Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa(FIFA) serta ahli kehormat seumur hidup Jawatankuasa Eksekutif badan induk bolasepak antarabangsa itu.

Selain itu, Allahyarham juga pernah menjadi presiden kepada beberapa
persatuan sukan tempatan seperti Persatuan Kriket Malaysia (1969-1991),
Persatuan Bolasepak Malaysia (1984-1988) dan Persatuan Taekwondo Malaysia
(1987-1999).

Malaysia juga kehilangan legenda badminton dan Ahli Pemasyhuran MOM Datuk
Punch Gunalan yang meninggal dunia pada 15 Ogos lepas. Mendiang yang berusia 68tahun menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat barah.

Turut meninggalkan peminat sukan tempatan ialah legenda bola sepak negara,
Tan Sri Abdul Ghani Minhat yang meninggal dunia akibat komplikasi selepas
pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 Sept
lepas.

Allahyarham yang begitu terkenal dengan gelaran 'Raja Bola Sepak' meninggal
dunia pada usia 77 tahun.

Pencapaian atlit Malaysia sepanjang 2012 memberi sinar harapan kepada
peminat sukan tempatan bahawa banyak lagi kejayaan mampu dicapai pada tahun
depan.

Sudah semestinya, Sukan SEA 2013 di Myanmar akan menjadi fokus utama peminatsukan tanah air untuk melihatkan kontinjen Malaysia melakar kejayaan gemilang dipentas antarabangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment