My Add

Thursday, 2 January 2014

Rasionalisasi subsidi bukan mendadak

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Januari, 2013: Kerajaan diminta tidak mengambil langkah merasionalisasikan subsidi dalam masa terdekat kerana tindakan itu akan memberi lebih tekanan kepada rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan ketika ini.

Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya. Dr. Abu Sofian Yaakob berkata, pengurangan subsidi secara berturut-turut sejak kebelakangan ini telah membawa kesan domino daripada segi peningkatan harga seperti makanan dan utiliti.

Sehubungan itu, jelasnya, rasionalisasi subsidi barang-barang lain dalam masa terdekat hanya akan menambah tekanan serta menimbulkan kemarahan kepada rakyat.

"Apa yang membebankan rakyat ketika ini adalah langkah rasionalisasi dilakukan secara serentak dan berturut-turut terutama pada hujung tahun di kala rakyat terutama yang berkeluarga perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk persiapan persekolahan serta musim perayaan.

"Jadi, langkah kerajaan untuk melihat semula rasionalisasi subsidi adalah disambut baik terutama bagi meredakan kemarahan rakyat sekaligus menunjukkan bahawa kerajaan prihatin dengan beban yang ditanggung orang ramai ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan melihat semula beberapa keputusan merasionalisasikan subsidi bagi meringankan beban kenaikan kos yang dihadapi rakyat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, satu mesyuarat jawatankuasa penyampaian pasukan petugas khas berkaitan kos sara hidup akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji secara holistik dan bagaimana langkah seterusnya dapat diambil bagi menangani masalah tersebut.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Rohami Shafie pula berpendapat, peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ketika ini dilihat tidak selari dengan langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

"Golongan peniaga dilihat mengambil kesempatan sepenuhnya untuk menekan orang ramai manakala agensi penguatkuasaan pula gagal memainkan peranan untuk mengambil tindakan.

"Langkah mesti diambil secara tepat untuk menyusun semula ekonomi supaya golongan sasaran dapat dibantu dan rakyat secara umumnya turut mendapat manfaat daripada kecekapan kerajaan menguruskan lebihan hasil program rasionalisasi subsidi," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment